Kemas kini terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan ranking dunia skuad kebangsaan Malaysia melonjak naik ke tangga ke-118 dunia.

Ia menunjukkan peningkatan sebanyak lima anak tangga dalam ranking FIFA berbanding kemas kini sebelum ini pada 18 September lalu.

Perkembangan yang semakin positif itu hadir selepas skuad kendalian Peter Cklamovski meraih dua kemenangan ke atas Laos pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 tempoh hari.

Ranking Dunia Malaysia Semakin Meningkat

Skuad negara meraih kemenangan 3-0 pada aksi di Vientiane manakala kemudiannya membelasah lawan yang sama 5-1 pada pertemuan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ia juga menyaksikan Malaysia kini telah memintas kedudukan seteru ketat, Indonesia yang turun tiga anak tangga untuk menduduki ranking ke-122.

Perkembangan terbaharu itu sedikit sebanyak dapat menceriakan penyokong Malaysia yang kini masih tersentak dengan berita hukuman dikenakan FIFA terhadap tujuh pemain warisan negara.

Ranking FIFA seterusnya akan dikemas kini pada 21 November 2025 dimana skuad negara akan menghadapi Nepal pada aksi kelima Kelayakan Piala Asia 2027.

Tumpuan penyokon setia skuad Harimau Malaya kini tertumpu untuk melihat sejauh mana momentum ini dapat diteruskan skuad negara di peringkat antarabangsa.

Sumber