Kemas kini terbaharu ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menyaksikan skuad Harimau Malaya melonjak naik ke tangga ke-116 dunia.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak dua anak tangga dalam ranking FIFA berbanding kemas kini sebelum ini pada 17 Oktober lalu dengan tambahan 6.88 mata untuk mengumpul mata keseluruhan 1161.53.
Perkembangan positif itu terus hadir selepas skuad kendalian Peter Cklamovski meraih kemenangan 1-0 ke atas Nepal pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027, kelmarin hasil jaringan Faisal Halim.
Keadaan yang turut menyaksikan skuad negara mencatatkan rekod tanpa sebarang kekalahan sepanjang aksi antarabangsa pada 2025.
Peningkatan Ranking FIFA Malaysia Tepat Pada Masanya
Peningkatan ranking FIFA ini hadir tepat pada masanya ketika pasukan negara sedang berdepan ketidaktentuan susulan isu penggantungan tujuh pemain warisan yang menyebabkan perdebatan hangat dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak tempatan.
Lonjakan dua anak tangga ini sekurang-kurangnya memberi suntikan moral kepada skuad Harimau Malaya sekali gus menunjukkan pasukan masih mampu mencatat keputusan positif meskipun dibelenggu masalah tersebut.
Kedudukan ranking FIFA ini akan kekal dalam tempoh masa lama apabila jendela perlawanan antarabangsa seterusnya hanya akan diadakan pada Mac 2026.
Skuad negara akan berkunjung ke Hanoi pada 31 Mac untuk menghadapi Vietnam pada aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027.