Andoni Iraola secara rasmi dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Liverpool bagi menggantikan Arne Slot, yang meninggalkan kelab itu pada Sabtu lalu.
Pengendali berusia 43 tahun itu tiba di Anfield selepas mengharungi tiga musim cemerlang bersama AFC Bournemouth dalam Liga Perdana Inggeris. Beliau berjaya membawa kelab tersebut layak ke pentas Eropah buat kali pertama dalam sejarah mereka selepas menamatkan musim lalu di tangga keenam liga.
“Saya benar-benar teruja. Semua orang tahu Liverpool adalah kelab besar, salah satu yang terbesar di dunia,” kata Iraola kepada laman rasmi kelab.
“Tetapi apabila anda memahami dengan lebih dekat tentang kelab ini, anda sedar ia memang istimewa. Liverpool sentiasa mempunyai daya tarikannya tersendiri.
“Suasana stadium, penyokong, kelab, pemain-pemain yang ada serta peluang untuk melatih pemain bertaraf dunia dan bersaing merebut trofi menjadikan tugas ini sangat menarik. Sukar untuk mencari peluang yang lebih baik daripada ini. Saya tidak sabar untuk memulakannya.”
Dilahirkan di wilayah Basque, utara Sepanyol, Iraola menikmati karier pemain yang panjang sebagai bek kanan bersama Athletic Club. Beliau membuat lebih 500 penampilan sepanjang 12 musim bersama kelab tersebut serta mengumpul tujuh kaps bersama skuad kebangsaan Sepanyol.
Selepas menamatkan karier pemainnya bersama New York City FC pada 2016, Iraola memulakan perjalanan sebagai jurulatih pada 2018 bersama AEK Larnaca di Cyprus dan membantu pasukan itu menjuarai Piala Super Cyprus.
Beliau kemudian mengendalikan Mirandes sebelum menyertai Rayo Vallecano pada 2020, di mana beliau berjaya membawa kelab itu naik ke La Liga pada musim pertamanya.
Tiga tahun kemudian, Iraola menerima tawaran Bournemouth dan terus mencipta nama dalam Liga Perdana Inggeris. Kemuncak kejayaannya hadir musim lalu apabila beliau membawa Bournemouth layak ke Eropah selepas mencatat rekod 18 perlawanan tanpa kalah pada separuh kedua musim.
Kini, Iraola memulakan cabaran baharu bersama Liverpool dan akan segera mempersiapkan pasukan menjelang musim baharu.