Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang sebelum ini sering menjadi tumpuan dalam kejohanan-kejohanan utama akhirnya diumumkan berpisah

Keputusan tersebut terpaksa diambil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berikutan beberapa masalah yang timbul dalam beberapa kejohanan terakhir.

Baca Juga:

Perubahan dapat disaksikan dengan kedua-duanya kelihatan agak ‘dingin’ ketika di dalam gelanggang sehingga menyebabkan mereka gagal mencapai prestasi yang diharapkan.

Memulakan kempen 2025 dengan baik apabila mara ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan Terbuka India, pasangan ranking keempat dunia tersebut mula berantakan ketika saingan di Eropah pada awal bulan ini.

Tang Jie dan Ee Wei hanya mampu melangkah ke pusingan kedua Orleans Masters dan tersingkir seawal pusingan pertama di All England.

Kedua-duanya tewas kepada pasangan dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Gloria Emanuelle Widjaja dimana pada dua aksi tersebut jelas kelihatan Ee Wei tidak dapat menyembunyikan ekspresi wajahnya ketika lawan mendapat mata.

Sehubungan dengan itu, BAM melihat sesuatu perlu dilakukan untuk tidak mahu keadaan sedemikian terus berlaku melibatkan mereka.

“Susulan keputusan yang diambil dalam mesyuarat Jawatankuasa Prestasi yang baru-baru ini, dan seperti yang dimaklumkan oleh Datuk V Subramaniam, Presiden Pemangku dan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi, status pasangan Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei akan diputuskan berdasarkan panduan daripada jurulatih.”

“Setelah perbincangan yang panjang, panel jurulatih telah memberikan cadangan mereka. “Oleh itu, kami telah menerima laporan dan cadangan akhir daripada Nova [Widianto] dan Rexy [Mainaky].”

“Pasangan ini akan dipisahkan untuk kejohanan yang akan datang. Kami telah bersetuju untuk memberi masa kepada jurulatih untuk mencuba kombinasi pasangan yang berbeza,” ujar BAM dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan sebentar tadi.

Sepanjang bergandingan bersama di pentas senior, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei telah memenangi kejuaraan Orleans Masters 2023, Terbuka Taipei 2023 dan Terbyka Korea 2024.

Mereka juga mara ke pentas final Thailand Masters 2024, Terbuka Swiss 2024 dan BWF World Tour Finals 2024.

 

Sumber