Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei turut menceriakan penyokong badminton negara selepas mara ke separuh akhir kejohanan Terbuka Malaysia 2025.

Kejayaan menundukkan Hiroki Midorikawa-Natsu Saito dari Jepun itu sekali gus menyaksikan Malaysia mempunyai dua wakil di separuh akhir dalam acara beregu campuran.

Baca Juga:

Ia berikutan pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang terlebih dahulu mengesahkan kemaraan mereka ke pusingan empat terbaik itu.

Ia merupakan sejarah baharu buat sektor beregu campuran yang semakin menunjukkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Turun selaku pilihan ketiga kejohanan tidak langsung memberikan tekanan kepada pasangan negara itu untuk beraksi cemerlang berbekalkan sokongan padu penyokong di Axiata Arena.

Tang Jie dan Ee Wei mempamerkan aksi kemas pada set pertama hingga menyukarkan lawan di ranking ke-14 dunia itu untuk menang 21-11 dalam masa 14 minit.

Kemenangan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan Tang Jie-Ee Wei yang semakin bersemangat untuk memastikan kemenangan menjadi milik mereka walaupun lawan cuba memberikan tentangan dengan mata 21-18.

Kejayaan manis dicipta itu turut membalas dendam kekalahan Tang Jie-Ee Wei di tangan lawan sama pada pusingan 16 edisi tahun lalu.

Pilihan pertama kejohanan yang merupakan pasangan nombor satu dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China bakal menanti Chen Tang Jie-Toh Ee Wei di separuh akhir esok.