Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebentar tadi mengumumkan pelantikan Kenneth Jonassen sebagai ketua jurulatih bagi sektor perseorangan lelaki negara.

Kedatangan Kenneth adalah bagi menggantikan Hendrawan yang hampir 15 tahun berkhidmat apabila kontraknya tidak diperbaharui.

Baca Juga:

Pengumuman mengenai kehadiran pengendali dari Denmark itu disahkan BAM menerusi kenyataan rasmi dikeluarkan laman sosial badan induk badminton negara tersebut.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dengan sukacitanya mengumumkan pelantikan Kenneth Jonassen dari Denmark sebagai ketua jurulatih perseorangan kebangsaan yang baharu.”

“Selepas pencarian yang teliti, BAM telah berjaya mendapatkan khidmat Jonassen, seorang figura yang sangat dihormati dalam badminton antarabangsa.”

“Jonassen yang berusia 50 tahun mempunyai rekod cemerlang dengan memainkan peranan utama dalam membentuk legasi badminton Denmark sepanjang 13 tahun beliau sebagai jurulatih.

“Sebelum ini, beliau juga pernah berkhidmat sebagai ketua jurulatih untuk England.”

“Jonassen, yang pernah menduduki tangga No. 2 dunia dalam perseorangan lelaki, telah memenangi pelbagai kejohanan berprestij seperti Terbuka Jerman, Korea, Belanda dan Singapura sepanjang karier permainannya.”

“Sebagai sebahagian daripada tugas beliau, Jonassen akan bekerjasama rapat dengan Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia) untuk merangka pelan pembangunan jangka panjang bagi program perseorangan Malaysia.”

“Jonassen akan memulakan tugas rasmi beliau dengan BAM pada 4 Januari 2025 di bawah kontrak selama empat tahun.”

Diharapkan dengan kepakaran dan sentuhan hebat dimiliki Kenneth dapat meningkatkan lagi kualiti pemain perseorangan negara.

Tugasnya pasti berat untuk membawa Leong Jun Hao, Ng Tze Yong dan Justin Hoh serta pemain muda lain untuk ke tahap lebih baik.

Selain Kenneth Jonassen, BAM sebelum ini mendapatkan semula khidmat Rosman Razak yang dipertanggungjawabkan untuk menjadi ketua jurulatih beregu wanita negara.

Sumber