Restoran Rembayung milik usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming, memperkenalkan sistem tempahan meja baharu menerusi aplikasi Grab bagi membendung kegiatan ulat tempahan atau scalper.

Langkah itu diambil selepas pihak pengurusan berdepan masalah individu yang mendapatkan slot tempahan dalam jumlah banyak sebelum menjualnya semula kepada pelanggan lain dengan harga lebih tinggi.

Menerusi pengumuman pada 2 November 2026, Khairul Aming memaklumkan bahawa sistem baharu itu dibangunkan hasil kerjasama dengan Grab.

Antara perubahan utama yang diperkenalkan ialah setiap pengguna Grab yang telah disahkan hanya dibenarkan membuat satu tempahan dalam tempoh dua minggu.

Selain itu, tempahan yang dibuat tidak boleh dipindah milik atau dijual kepada individu lain.

Pelanggan juga diwajibkan membawa telefon bimbit yang digunakan ketika membuat tempahan untuk tujuan pengesahan sebelum memasuki restoran.

Sebarang tangkap layar atau gambar bukti tempahan tidak akan diterima. Sebaliknya, pelanggan perlu membuka aplikasi Grab pada telefon asal yang digunakan ketika membuat tempahan.

Untuk membuat tempahan, pelanggan perlu membuka aplikasi Grab, memilih menu Dine Out dan menekan pilihan Book a Table.

Selepas itu, pelanggan boleh mencari Rembayung – Kampung Baru sebelum memilih tarikh, waktu dan jumlah individu.

Setiap tempahan memerlukan deposit RM10 bagi setiap individu. Bagaimanapun, jumlah tersebut akan ditolak daripada bil makanan ketika pelanggan membuat pembayaran di restoran.

Bayi dan kanak-kanak turut dikira sebagai seorang pelanggan, manakala satu tempahan boleh memuatkan maksimum lapan orang.

Bagi pelanggan yang sudah membuat tempahan menerusi sistem terdahulu, Umai, tempahan mereka kekal sah dan tidak perlu dibuat semula.

Sebelum ini, Khairul Aming memaklumkan bahawa pihaknya sedang menguji sistem tempahan baharu bagi menggantikan Umai selepas menerima pelbagai aduan berkaitan aktiviti scalper.

Rembayung yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur, merupakan antara restoran paling mendapat perhatian orang ramai sejak dibuka pada 2026.

Ketika sesi tempahan pertama dibuka pada Januari lalu, restoran itu menerima kira-kira 3,000 tempahan sehingga laman web mereka mengalami gangguan akibat trafik terlalu tinggi.

Dengan pengenalan sistem Grab ini, Khairul Aming berharap aktiviti penjualan semula slot dapat dikurangkan dan pelanggan sebenar mempu