Hari lahir sepatutnya menjadi hari yang paling membahagiakan buat sesiapa sahaja.
Namun, adakalanya hari istimewa ini boleh bertukar hiba apabila orang yang paling kita harapkan untuk ingat—iaitu ibu bapa sendiri—terlepas pandang atau terlupa tentang hari tersebut.
Itulah luahan perasaan seorang gadis di media sosial baru-baru ini yang tular, selepas dia berkongsi rasa sedih dan kecewa apabila tidak menerima sebarang panggilan atau ucapan daripada kedua ibu bapanya pada hari ulang tahun kelahirannya.
“Hari Ini Baru Sedar Aku Tak Penting…”
Menerusi hantaran tersebut, gadis berkenaan meluahkan rasa terkilan kerana sering mengutamakan hari lahir orang lain, namun perkara sebaliknya pula yang berlaku kepada dirinya sendiri.
“Semalam hari jadi saya. Hari ni baru sedar saya tidak penting. Satu panggilan daripada ibu dan ayah saya tidak terima semalam. Mungkin mereka lupa, atau memang saya tak penting, setiap tahun macam ini.
“Kalau hari jadi orang laju saja saya ini ingat dan bagi hadiah. Sedihlah juga tapi tidak apa, tak valid pun perasaan ini. Apa-apa pun, Selamat Hari Jadi buat diri sendiri!” tulisnya.
Luahan yang penuh emosi itu ternyata mendapat perhatian ramai netizen yang rata-ratanya memahami perasaan sunyi dan terpinggir yang dialaminya.
View on Threads
Respons Daripada Siti Nurhaliza Sentuh Hati Ramai
Bagaimanapun, apa yang menarik perhatian ramai adalah komen balas daripada penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Bukannya mahu menyalahkan atau memperkecilkan perasaan gadis tersebut, pesanan yang ditinggalkan oleh Siti Nurhaliza ternyata sangat mendalam dan penuh keibuan, sekaligus mengubah perspektif cara kita meraikan hari lahir.
Siti Nurhaliza dengan penuh lembut menasihati agar kita mengubah cara berfikir (persepsi) apabila tibanya hari ulang tahun kelahiran.
“Salam dik, Akak nak share satu, selalunya kita memang harap orang beri ucapan selamat hari jadi pada kita terutama sekali Ayah Ibu, tapi boleh tak kita tukar persepsi itu?
“Bila hari lahir, kita yang sepatutnya telefon ayah dan ibu ucapkan terima kasih sebab dah lahirkan & besarkan kita dengan baik.
“Sebab tanpa mereka, kita tidak berada di dunia ini. Kita yang patut hadiahkan mereka. Semoga apa yang akak kongsi ini tidak menyinggung perasaan ya. Selamat Hari Lahir adik,” tulis Siti Nurhaliza.
Netizen Mula Berlapang Dada
Pesanan ringkas namun padat dengan ukhuwah daripada Siti Nurhaliza itu berjaya membuka mata ramai pihak.
Ramai yang bersetuju bahawa hari lahir sebenarnya adalah hari pengorbanan seorang ibu yang bertarung nyawa melahirkan kita, dan bapa yang membanting tulang membesarkan kita.