Isu disiplin dalam kem badminton negara memaksa Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan, Rexy Mainaky tampil bersuara dengan nada yang cukup tegas.

Beliau menyifatkan sikap segelintir pemain yang masih liat untuk berubah walaupun sudah diberikan peluang berkali-kali sebagai sesuatu yang tidak lagi boleh dimaafkan.

Rexy menegaskan bahawa kesabaran barisan kejurulatihan ada batasnya, terutama apabila melibatkan pemain yang seolah-olah hilang fokus terhadap tanggungjawab sebenar mereka di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Kenyataan ini disuarakan Rexy bagi menyokong pandangan yang dikeluarkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Lee Chong Wei sebelum ini berhubung disiplin pemain negara sebaik sahaja berakhirnya kempen Piala Thomas dan Uber di Denmark.

Rexy Selar Sikap Pemain Tak Berdisiplin

“Amaran itu memang perlu ada, tetapi kalau sudah berulang kali diingatkan, sepatutnya tidak sampai ke amaran ketiga atau keempat.”

“Mungkin amaran ketiga kita masih boleh bertolak ansur, tetapi kalau sudah sampai 10 kali diberi peringatan, itu ibarat kita bercakap dengan tembok, bukan dengan manusia,” ujar Rexy menurut sumber laporan Bernama.

“Saya bukan 100 peratus setuju tapi 10,000 peratus setuju dengan apa diperkatakan Chong Wei.”

“Apa pun bidang kita, bukan hanya sukan, semuanya berkaitan disiplin. Itu yang akan menentukan sama ada kita boleh berjaya atau tidak pada masa depan.”

“Pemain perlu faham mereka bukan lagi orang biasa. Apa sahaja yang mereka buat akan diperhatikan semua orang kerana masyarakat mahu melihat mereka berjaya.”

“Peraturan ini bukan sebab kami tidak suka kepada pemain tetapi kerana disiplin itu yang akan membantu mereka mencapai kejayaan,” jelas beliau lagi.

Sumber