Penyerang muda kelahiran Jordan, Reziq Bani Hani sah meninggalkan pasukan Selangor dan menyertai salah sebuah kelab di negara itu.

Perkara ini diumumkan oleh Selangor di laman media sosial rasmi pasukan dimana Reziq meninggalkan skuad gergasi merah hanya selepas lima bulan menyertai pasukan itu.

Baca Juga:

Ketika bersama Selangor, Reziq Bani Hani banyak beraksi sebagai pemain gantian dimana pengendali pasukan, Nidzam Jamil sering memasukkan pemain ini pada separuh masa kedua dalam kebanyakan perlawanan.

Meskipun hanya beraksi sebagai pemain gantian, penyerang berusia 22 tahun ini menjaringkan beberapa gol penting seperti ketika Selangor menewaskan Terengganu di peringkat separuh akhir Piala FA musim ini.

Reziq menjaringkan gol pada lewat permainan yang menyaksikan Selangor mara ke perlawanan akhir namun terpaksa akur dimana mereka tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pada jendela perpindahan kedua musim 2024/2025, Selangor membawa masuk seorang lagi pemain skuad kebangsaan Jordan iaitu Ali Olwan sekaligus menjadi pengganti kepada Reziq.

Menurut laporan media Jordan, Reziq menyertai Al-Hussein yang merupakan juara Liga Pro Jordan musim lalu dan turut beraksi dalam saingan AFC Champions League (ACL) 2 musim ini.

Sejak tiga musim kebelakangan ini, Selangor dibarisi oleh beberapa pemain dari Jordan bermula dengan Baha’ Abdel-Rahman dan Yazan Al-Arab pada musim 2022.

Musim lalu, Noor dibawa masuk bagi memperkuatkan barisan tengah dan bagi saingan musim 2024-2025, juara 33 kali Piala Malaysia itu menandatangani Reziq dan Olwan.