Pertahanan muda, Leny Yoro sudah diperkenalkan sebagai pemain baharu buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United bagi menghadapi kempen 2024/25.
Pemain berusia 18 tahun yang membuat 60 penampilan bersama Lille itu memeterai kontrak sehingga 2029 dengan yuran perpindahan bernilai £52.18 juta (tambahan £6.73 juta).
Baca Juga:
- Tewas Kepada Rosenborg, Ten Hag Bengang Dengan Aksi Manchester United
- Ini Perkara Erik Ten Hag Perlu Selesaikan Segera Selepas Kontrak Dilanjutkan
- Ten Hag Tak Mahu Ucap ‘Good Bye’ Kepada Penyokong Manchester United
Kedatangan dalam menyarung jersi The Red Devils nyata mencuri tumpuan legenda kelab yang turut beraksi di posisi sama iaitu Rio Ferdinand.
Ferdinand nyata memuji bakat besar yang dimiliki oleh Yoro dan mahu pemain tersebut bekerja keras dalam usaha merebut tempat di kesebelasan utama skuad kendalian Erik ten Hag itu.
“Leny, Leny, Leny, selamat datang ke Manchester United. Saya mendoakan yang terbaik untuk anda,” ujar Ferdinand dalam video khas dikeluarkan laman sosial kelab tersebut.
“Saya tahu bahawa anda akan bekerja keras di kelab ini dan itu adalah rahsianya [kejayaan]. Kerja keras, kerja keras, kerja keras.”
“Pertingkatkan semua aspek dalam permainan anda kerana anda memiliki potensi yang luar biasa dan anda memiliki ‘alat’ yang diperlukan di sana untuk menjadi pemain yang luar biasa dan memberikan impak yang besar buat kelab ini.”
“Manchester United adalah merupakan kelab yang terbesar di dunia dan adalah kelab yang indah untuk anda berkarier.”
“Nikmatilah perjalanan anda di kelab ini dan saya akan segera untuk menemui anda, selamat maju jaya!” tambah beliau lagi.
Leny Yoro menjadi rekrut kedua buat Manchester United selepas mereka terlebih dahulu mengumumkan kehadiran pemain penyerang dari Belanda, Joshua Zirkzee. Beliau sebelum ini menyarung jersi Bologna selama dua musim.