Manchester United mengalami kekalahan pada aksi persahabatan sulung bertemu Rosenborg 0-1 di Lerkendal Stadion yang nyata tidak disenangi pengendali pasukan, Erik ten Hag.

Pada perlawanan tersebut, ten Hag membariskan pemain berpengalaman seperti Jonny Evans, Aaron Wan-Bissaka, Casemiro, Mason Mount dan Marcus Rashford di kesebelasan utama.

Baca Juga:

Statistik perlawanan menyaksikan pasukan tuan rumah mendominasi permainan dan lebih banyak mencipta peluang untuk mendapatkan jaringan.

Gol kemenangan Rosenborg hadir pada masa kecederaan menerusi penyerang gantian, Noah Emmanuel Jean Holm. Keadaan itu jelas membuatkan ten Hag berang dengan aksi ditampilkan barisan pemainnya.

“Keputusan perlawanan ini bukan menjadi perkara yang kedua,” ujar ten Hag menurut sumber laporan Goal.

“Persembahan kami sebagai satu pasukan setakat ini tidak begitu baik. Ia bukan standard terbaik buat bola sepak tahap tertinggi.”

“Kami tidak boleh cergas pada masa ini. Mereka (merujuk kepada Rosenborg) mempunyai tahap kecergasan yang lebih tinggi tetapi kami adalah Manchester United, kami mesti beraksi lebih baik.”

Manchester United akan meneruskan jelajah pra-musim mereka menjelang kempen 2024-25 pada 20 Julai dengan lawatan ke Murrayfield, Scotland untuk menentang Rangers.

Selepas itu, Ten Hag dan anak-anak buahnya akan menuju pula ke Amerika Syarikat untuk menentang Arsenal, Real Betis dan musuh ketat iaitu Liverpool.

Erik ten Hag yang dilanjutkan kontraknya berdepan tugas sukar untuk meningkatkan prestasi pasukan selepas menamatkan musim lalu di kedudukan kelapan.