Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) skuad Harimau Malaya, Rob Friend melahirkan rasa terkejut terhadap keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang mengenakan hukuman terhadap 7 pemain warisan negara.
Dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan laman Facebook Malaysia NT sebentar tadi, Friend menegaskan bahawa perkara pentadbiran yang menjadi perhatian FIFA telah pun ditangani dan kini tumpuan sepenuhnya diberikan kepada proses rayuan.
Baca Juga:
- MFL Umum Penggantungan Tiga Pemain Warisan JDT Susulan Keputusan FIFA

- Hukuman FIFA: FAM Pertahan Integriti, Bakal Buat Rayuan

- FIFA Hukum FAM Dan 7 Pemain Atas Dakwaan Pemalsuan

Dalam masa yang sama, Friend turut menegaskan bahawa mereka menghormati prosiding yang sedang berlangsung di peringkat FIFA dan percaya keputusan akhir akan dibuat secara adil serta telus.
“Kami terkejut dengan keputusan FIFA serta hukuman luar biasa yang dikenakan terhadap pemain-pemain kami.”
“FAM telah menyelesaikan perkara pentadbiran yang sedang diteliti dan skuad kebangsaan berdiri teguh di belakang proses rayuan ini.”
“Sebagai Harimau Malaya, fokus penuh kami kini adalah ke hadapan bagi membina pasukan yang kuat untuk perlawanan kelayakan menentang Laos serta memastikan disiplin, profesionalisme dan prestasi di atas padang terus mencerminkan kebanggaan serta semangat negara.”
“Kami menghormati prosiding yang sedang berlangsung dan percaya proses ini akan menghasilkan keputusan yang adil serta telus.”
“Ini merupakan detik penting dalam sejarah bola sepak Malaysia. Harimau Malaya kekal bersatu dan bertekad, berdiri bersama para pemain, jurulatih dan staf ketika kami melangkah ke hadapan dengan tujuan serta semangat yang tinggi.”