Roberto Martinez mengesahkan pengunduran diri daripada skuad kebangsaan Portugal selepas pasukannya tewas 0-1 pada aksi pusingan 16 Piala Dunia 2026 bertemu Sepanyol awal pagi tadi.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu menjelaskan bahawa tiada sebab untuk beliau meneruskan tugas tersebut selepas gagal mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu untuk muncul selaku juara Piala Dunia 2026.
Walaupun memiliki barisan tengah bertaraf dunia yang dibarisi pemain seperti Bruno Fernandes, Joao Neves dan Vitinha, persembahan Portugal di bawah kendalian Roberto MartÃnez dilihat kurang meyakinkan sepanjang kejohanan.
Keputusan drastik diambil itu sekali gus membuka laluan buat Jorge Jesus untuk mengambil alih jawatan berkenaan. Jesus merupakan pengurus Al-Nassr yang telah menghadiahkan kejuaraan Saudi Pro League 2025/26.
Jodoh Portugal Dan Roberto Martinez Berakhir
Martinez yang sebelum ini turut gagal menghadiahkan sebarang kejuaraan buat skuad emas Belgium menjelaskan bahawa keputusannya untuk menamatkan tempoh pimpinan yang bermula pada Januari 2023 adalah muktamad.
“Saya datang ke Portugal untuk memenangi Piala Dunia dan saya rasa tanpa memenanginya, tiada sebab untuk saya meneruskan tugas ini.”
“Lembaga pengurusan dan presiden kini mempunyai peluang untuk memilih jurulatih baharu. Kontrak saya tamat hari ini,” ujar beliau menurut sumber laporan Goal.
“Tiada banyak lagi yang perlu diperkatakan. Saya sangat berbangga. Saya diterima seperti seorang rakyat Portugal sendiri dengan cara yang sangat mesra.”
“Ia satu pengalaman yang menggembirakan, satu kebanggaan dan juga satu tanggungjawab.”