Sepanyol memulakan kempen Piala Dunia 2026 mereka dengan mengecewakan apabila diikat seri 0-0 oleh pendatang baharu kejohanan itu, Cape Verde.

Walaupun dibarisi skuad yang dipenuhi bintang bertaraf dunia, juara Eropah itu gagal menemui jalan untuk menembusi benteng pertahanan kental pasukan Afrika tersebut.

Melihatkan kepada keadaan itu, Kapten Sepanyol, Rodri tidak berselindung dalam penilaiannya terhadap persembahan Cape Verde selepas pasukannya dikecewakan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan H.

Pemain tengah Manchester City itu menyatakan bahawa pihak lawan menunjukkan sangat sedikit keinginan untuk benar-benar bermain bola sepak, sebaliknya memilih untuk berkampung di kawasan pertahanan sendiri sepanjang perlawanan.

Rodri Ulas Corak Permainan Cape Verde

Malah dalam masa sama, Rodri meluahkan rasa kecewanya terhadap corak permainan yang diterapkan oleh skuad kendalian Bubista itu.

“Ia memang tidak menjadi seperti yang diharapkan. Tidak banyak yang boleh dikeluhkan,” ujar Rodri menurut sumber laporan Goal.

“Kami tahu ini adalah perlawanan yang memerlukan kesabaran. Mereka bertahan jauh di belakang dan turun berkubu dengan sangat cepat.”

“Kami tidak berjaya menjaringkan gol. Kami mencipta peluang tetapi gagal menyudahkannya. Perkara positifnya ialah mereka hampir tidak mencipta apa-apa peluang menentang kami. Kami perlu memperbaiki penyudah kami.”

Apabila ditanya secara khusus mengenai corak permainan pasukan bukan pilihan itu, Rodri menambah:

“Begitulah cara mereka bermain. Mereka tidak melepasi garisan tengah. Apa yang penting ialah kami perlu memperbaiki penyudah kami.”

Sumber