Skuad Harimau Malaya kini kehilangan khidmat penyerang naturalisasi, Romel Morales yang disahkan mengalami kecederaan menurut kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.

Morales tidak dapat melapor diri selepas disahkan menerusi laporan perubatan mengalami kecederaan ketika beraksi pada perlawanan Liga Super 2024-2025 mewakili Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Perak FC, malam tadi.

Baca Juga:

Sebagai ganti, pemain Chonburi FC, Fergus Tierney yang sebelum ini berada dalam Senarai Bersedia telah dipanggil melapor diri ke kem latihan pasukan kebangsaan bagi menghadapi dua perlawanan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Laos di Bangkok, Thailand pada 14 November dan menentang India di Hyderabad pada 18 November 2024.

“Semoga Romel cepat kembali sembuh dan seterusnya dapat dipanggil lagi pada kem latihan pusat Harimau Malaya yang akan datang,” kata kenyataan FAM.

Empat pemain Johor Darul Ta’zim yang lain iaitu penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Matthew Davies, Feroz Baharudin dan Arif Aiman Mohd Hanapi telah melapor diri dan akan menyertai sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Sementara Fergus dan kapten, Dion Cools akan terus menyertai pasukan di Bangkok, Thailand setibanya skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti di sana, esok.