Romelu Lukaku mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa selepas 16 tahun menyarung jersi Belgium.
Penyerang Fenerbahce berusia 33 tahun itu mengesahkan keputusan berkenaan menerusi satu hantaran di Instagram, sambil menyifatkan perjalanan bersama skuad kebangsaan sebagai pengalaman yang cukup bermakna dalam kariernya.
Lukaku melakukan penampilan sulung bersama Belgium pada 2010 dan menamatkan karier antarabangsanya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu dengan 94 gol daripada 135 penampilan.
Dia turut berada dalam kelompok lima penjaring terbanyak antarabangsa lelaki sepanjang zaman, di belakang Sunil Chhetri, Ali Daei, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Sepanjang mewakili Belgium, Lukaku beraksi dalam empat edisi Piala Dunia dan tiga Kejohanan Eropah. Dia turut menghasilkan lapan gol dalam kempen Piala Dunia serta enam gol di pentas Euro.
Dalam kenyataan perpisahannya, Lukaku mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukan, jurulatih dan penyokong yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang perjalanannya bersama Belgium.
“Selama 16 tahun ini, saya sudah memberikan segala-galanya untuk pasukan kebangsaan. Saya melalui setiap emosi yang mungkin dirasai.
“Kepada penyokong Belgium, terima kasih atas sokongan yang diberikan kepada pasukan kami. Saya bangga kerana berpeluang mewakili negara dalam empat Piala Dunia dan tiga Kejohanan Eropah.
“Saya tidak akan melupakan detik-detik tersebut. Saya sudah berdamai dengan keputusan untuk berhenti di sini. Semuanya sangat menakjubkan dan menyeronokkan. Saya bersyukur,” katanya.
Rakan sepasukannya, Kevin De Bruyne turut memberikan penghormatan kepada Lukaku menerusi media sosial.
“Tiada kata-kata yang mampu menggambarkan betapa besarnya makna kamu kepada saya dan negara kita!” tulis De Bruyne.
Persaraan Lukaku menutup satu era buat Belgium, dengan penyerang itu meninggalkan legasi sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak negara tersebut.