Penyerang Belgium, Romelu Lukaku semakin menghampiri rekod Mokhtar Dahari dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman dalam bola sepak antarabangsa lelaki.

Ini kerana beliau telah menjaringkan empat gol ketika Belgium menamatkan kempen kelayakan Euro 2024 mereka dengan kemenangan 5-0 di tempat sendiri ke atas Azerbaijan semalam.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Keempat-empat gol Lukaku hadir pada minit ke 17,26, 30 dan 37.  Tiga daripadanya terhasil selepas pemain tengah Azerbaijan, Eddy Israfilov dilayangkan kad merah pada pertengahan separuh masa pertama.

Secara keseluruhan, Lukaku telah meledak 14 gol sekaligus mencipta rekod baharu sebagai penjaring terbanyak untuk kempen kelayakan Euro.

Ia bermakna Lukaku kini telah mengumpulkan 83 gol dan kini melonjak ke tangga ketujuh bersama penyerang UAE, Ali Mabkhout dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak antarabangsa lelaki.

Selain itu, Lukaku juga memintas bintang Poland, Robert Lewandowski yang kini mengumpulkan 81 gol.

Beliau kini hanya memerlukan 6 gol lagi untuk menyamai rekod penyerang Lagenda Malaysia, Mokhtar Dahari di tangga kelima dengan 89 gol.

Antara pemain lain yang menjaringkan lebih banyak gol daripada Lukaku dalam sejarah bola sepak antarabangsa lelaki ialah Ferenc Puskas (84),  Sunil Chhetri (93), Lionel Messi (106), Ali Daei (108) dan Cristiano Ronaldo (128). ).

Senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman bola sepak antarabangsa lelaki.

Lukaku berpotensi menjaringkan lebih banyak gol dalam aksi persahabatan antarabangsa yang seterusnya bersama Belgium pada tahun depan selain menghadapi saingan Euro 2024.

Belgium memenangi Kumpulan F Kelayakan Euro 2024 dengan 20 mata daripada lapan perlawanan, selepas menjaringkan 22 gol dan hanya dibolosi empat kali.