Cristiano Ronaldo mengakui dia pernah terfikir untuk meninggalkan skuad kebangsaan Portugal selepas Piala Dunia 2026.

Namun, kapten Portugal itu akhirnya memilih untuk terus bersama pasukan kebangsaan selepas berbincang dengan Presiden Portugal serta ketua jurulatih baharu, Jorge Jesus.

Ronaldo yang kini berusia 41 tahun berkata dia sentiasa memikirkan mengenai masa depan dan membuat pertimbangan terhadap setiap keputusan yang bakal diambil.

Kemudian dia mendapai bahawa negaranya masih bergantung kepadanya.

“Ya, saya pernah terfikir mengenainya. Sudah tentu saya sentiasa memikirkan keputusan saya, masa depan dan juga keadaan sekarang,” kata Ronaldo.

Bagaimanapun, Ronaldo masih merasakan dirinya mampu memberikan sumbangan kepada Portugal, bukan sahaja di dalam padang tetapi turut dari segi pengalaman di luar padang.

Menurutnya, perkara paling penting ketika ini adalah kemampuan untuk menjaringkan gol dan membantu Portugal memenangi perlawanan.

Ronaldo turut menegaskan bahawa dia tidak akan mempunyai masalah untuk meninggalkan skuad kebangsaan sekiranya jurulatih atau pasukan sudah tidak memerlukannya.

“Jika Portugal tidak lagi bergantung kepada saya, maka, hari ini juga saya pergi, tiada masalah.

“Jika jurulatih atau Presiden, mereka tidak lagi bergantung kepada saya untuk berada dalam skuad kebangsaan, saya akan menjadi yang pertama bercakap tentangnya.

“Apabila saya merasakan saya tidak ada apa-apa sumbangan di sini, tidak membantu di atas padang, tidak menjaringkan gol atau mencipta suasana yang baik, saya akan menjadi orang pertama untuk mengemas beg,” katanya.

Ronaldo sebelum ini turut membuka kemungkinan musim 2026/27 menjadi musim terakhirnya sebagai pemain profesional, namun masih belum menetapkan tarikh sebenar untuk bersara.

Buat masa ini, Ronaldo memilih untuk memberi tumpuan kepada masa sekarang dan terus membantu Portugal dalam kempen mereka.

Beliau juga kini semakin hampir kepada angka 1,000 gol sepanjang karier profesionalnya.