Cristiano Ronaldo dilaporkan telah meninggalkan kem latihan skuad kebangsaan Portugal selepas sekali lagi kecewa dengan keputusan ketua jurulatih, Jorge Jesus.
Perkembangan itu berlaku selepas Jorge Jesus mengesahkan dalam sidang media bahawa Ronaldo tidak akan berada dalam kesebelasan utama Portugal untuk aksi menentang Denmark.
Sebelum ini, satu pertemuan tergempar dilaporkan berlangsung antara Ronaldo, Jorge Jesus dan Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF), Pedro Proenca bagi menyelesaikan kemelut yang tercetus selepas pemain berusia 41 tahun itu kecewa apabila tidak diturunkan ketika menentang Norway.
Ronaldo dikatakan berang dengan situasi tersebut sehingga enggan menjalani latihan dan meninggalkan penginapan pasukan.
Bagaimanapun, pertemuan tersebut pada awalnya dilaporkan membuahkan hasil positif apabila hubungan Ronaldo dan Jorge Jesus dikatakan kembali pulih dan Ronaldo sedia kembali semula untuk beraksi.
Namun, keadaan kembali tegang selepas Jorge Jesus mengesahkan bahawa Ronaldo tidak akan diturunkan sebagai pemain utama ketika berdepan Denmark.
Menurut Jorge Jesus, keputusan itu dibuat kerana Ronaldo tidak menjalani sesi latihan penuh sebelum ini susulan tindakannya meninggalkan kem Portugal.
Tidak lama selepas sidang media tersebut, Ronaldo terus meninggalkan kem pasukan dan menuju ke lapangan terbang untuk menaiki jet peribadinya.
Lebih dramatik, Jorge Jesus bersama Pedro Proenca dilaporkan bergegas ke lapangan terbang dalam usaha memujuk Ronaldo supaya kembali ke kem kebangsaan.
Mereka dilaporkan cuba memujuk Ronaldo sehingga ke saat akhir, namun kapten Portugal itu tetap dengan keputusannya untuk meninggalkan pasukan.
🚨 Last week, Cristiano Ronaldo sat in a press conference and said he would continue his Portugal career.
He spoke about chasing 1,000 career goals. He spoke about winning another Nations League.
Now Marca report that Jorge Jesus and the FPF president rushed to the airport to… pic.twitter.com/3rpYVv1Fe6
— The Nassr Tribune™️ (@AlNassrTribune) September 30, 2026
Ronaldo kemudian mengeluarkan kenyataan mengenai keputusannya itu.
“Selepas sidang media ketua jurulatih pasukan kebangsaan, dan selepas berbincang dengan Presiden Persekutuan Bola Sepak Portugal, saya telah membuat keputusan untuk meninggalkan kem latihan pasukan kebangsaan.
“Pada masa yang sesuai nanti, saya akan memberitahu kepada seluruh rakyat Portugal perkara sebenar mengenai sebab-sebab yang membawa kepada keputusan saya untuk meninggalkan pasukan kebangsaan, sebuah pasukan yang sentiasa saya curahkan sepenuh dedikasi.
“Buat masa ini, saya ingin mengucapkan semoga berjaya kepada Portugal dan semua rakan sepasukan saya.”
Keputusan tersebut sekali lagi mencetuskan persoalan besar mengenai masa depan Ronaldo bersama Portugal dan mungkin menjadi titik akhir kepada perjalanan panjangnya bersama Portugal.
Ronaldo merupakan antara pemain paling penting dalam sejarah bola sepak Portugal dan telah mengabdikan sebahagian besar kariernya kepada pasukan kebangsaan.
Ronaldo sebelum ini memang mahu bersara daripada skuad kebangsaan. Namun dia akui panggilan kebangsaan oleh Jorge Jesus yang pernah menjadi pengurusnya di Al-Nassr mengubah keputusannya.
Dia kembali semula ke kem Portugal dan sempat menmbicarakan misi 1,000 gol dalam kariernya. Ronaldo ketika itu menjelaskan bahawa dia kembali kerana negaranya masih bergantung kepadanya.
Namun kini, jelas Ronaldo sudah kecewa dengan cara Jorge Jesus melayannya. Dan dia mungkin tidak akan bermain untuk Portugal lagi selepas karier yang panjang.