Wayne Rooney menyelar sambutan yang dianggapnya sebagai ‘pra-matang’ oleh skuad Manchester City susulan kemenangan penting 2-1 mereka ke atas Arsenal di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Legenda Manchester United itu percaya bahawa keraian yang keterlaluan sejurus wisel penamat ditiupkan boleh memakan diri pasukan kendalian Pep Guardiola ketika perebutan gelaran English Premier League (EPL) 2025/26 memasuki fasa terakhir.

Suasana di Manchester mencapai tahap kemuncak sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan, dengan pemain dan penyokong City masing-masing meraikan apa yang dianggap sebagai kemenangan paling penting.

Dalam salah satu detik paling bersemangat , Gianluigi Donnarumma melompat ke arah penonton untuk meraikan kejayaan bersama penyokong tuan rumah.

Satu kepuasan buat Donnarumma selepas penjaga gol dari Itali itu melakukan kesilapan yang menjurus kepada jaringan penyamaan Arsenal menerusi Kai Havertz pada minit ke-18.

Rooney Anggap Keraian Manchester City Keterlaluan

Namun Rooney melihat keraian berlebihan selepas tamat perlawanan tersebut adalah melampau bagi pasukan yang masih belum sah menjulang trofi.

“(Keraian tersebut) agak keterlaluan,” ujar Rooney menurut sumber laporan Goal.

“Ada baki enam perlawanan lagi untuk Manchester City, dan ini sememangnya kemenangan yang besar. Cuma saya rasa ia sedikit pra-matang dan mungkin akan memakan diri mereka semula.”

Sumber