Wayne Rooney memberikan kritikan pedas terhadap pertunjukan separuh masa (halftime show) final Piala Dunia 2026 apabila mengakui beliau tidak sabar menunggu persembahan muzik itu berakhir.

Legenda Manchester United itu jelas tidak terkesan dengan pertunjukan penuh bintang yang berlangsung di Stadium MetLife, yang menampilkan nama-nama besar dunia seperti Madonna, Shakira dan Justin Bieber.

Rooney mengkritik persembahan separuh masa pertama final Piala Dunia yang julung kali diperkenalkan itu, sambil menyatakan tempoh rehat yang lebih panjang tersebut gagal memberikan hiburan yang menarik buat dirinya.

Kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu mengadaptasi konsep halftime show seperti Super Bowl ketika aksi final antara Sepanyol dan Argentina yang berlangsung di Stadium MetLife, New Jersey awal pagi tadi.

Rooney Tak Senang Dengan ‘Halftime Show’

“Sejujurnya, detik yang paling saya sukai ialah apabila persembahan itu tamat,” ujar Rooney menurut sumber laporan Goal.

“Saya suka ramai daripada artis-artis tersebut, tetapi bagi saya persembahan itu teruk. Ia langsung tidak menaikkan semangat saya dan saya hanya mahu aksi bola sepak kembali disambung.”

“Saya suka Burna Boy, saya suka [Justin] Bieber, saya suka Shakira, tetapi persembahan itu terlalu hambar.”

Persembahan separuh masa itu menandakan perubahan besar dalam aksi final Piala Dunia, apabila FIFA memperkenalkan konsep hiburan yang diinspirasikan daripada Super Bowl bagi mengiringi perlawanan terbesar kejohanan tersebut.

Acara itu turut menyokong FIFA Global Citizen Education Fund, sebuah inisiatif yang menyasarkan kutipan dana sebanyak AS$100 juta untuk pendidikan global.

Tempoh rehat yang lebih panjang menjadi perhatian sebelum dan selepas aksi final berlangsung dengan timbul kebimbangan mengenai kesannya terhadap kelancaran permainan.

Kritikan Rooney mencerminkan pandangan sebahagian pihak yang berpendapat bola sepak seharusnya kekal menjadi fokus utama walaupun FIFA berusaha memperluaskan elemen hiburan bagi meningkatkan tarikan acara tersebut.

Sumber