Legenda bola sepak England, Wayne Rooney memberikan kritikan pedas terhadap Thomas Tuchel susulan penyingkiran menyakitkan The Three Lions di peringkat separuh akhir Piala Dunia di tangan Argentina.

Keputusan pengendali dari Jerman itu untuk mengamalkan pendekatan lebih bertahan dalam tempoh masa lama jelas memakan diri.

Keadaan tersebut menyebabkan jaringan lewat Enzo Fernandez dan Lautaro Martinez mengubah kelebihan 1-0 England kepada kekalahan 2-1 yang memusnahkan impian mereka untuk ke pentas final.

Rooney menyifatkan kekurangan keberanian Tuchel dari kawasan teknikal telah menghakis keyakinan para pemain di atas padang.

Rooney Kritik Perubahan Taktikal Tuchel

Legenda Manchester United itu juga mengkritik cara England mensia-siakan momentum mereka ketika skuad The Three Lions dilihat hampir berjaya menundukkan juara dunia itu.

“Keputusan yang dibuat Thomas Tuchel, kita perlu jujur, telah menyebabkan kami [England] tewas malam ini,” ujar Rooney menurut sumber laporan Goal.

“Jika anda seorang pemain menyerang di atas padang, anda mendahului 1-0 dan kemudian melihat pertukaran yang dilakukan pengurus, keyakinan anda akan mula hilang. Anda mungkin boleh terlepas beberapa kali, tetapi bukan setiap masa.”

“Kemudian anda mula berfikir, ‘Oh tidak, kami akan terus bertahan selama ini. Bagaimana kami hendak bertahan hingga tamat?’ Ia mencetuskan panik, benar-benar panik.”

“Anda tidak boleh mendahului satu gol kemudian menyerahkan penguasaan bola serta melepaskan peluang untuk memburu gol kedua kerana itulah yang sepatutnya anda lakukan.”

“Jika anda membiarkan pemain berkualiti seperti mereka menguasai bola di sekitar kotak penalti anda, lambat-laun mereka pasti akan menjaringkan gol.”

Sumber