Skuad bola sepak wanita Sabah mencipta sejarah baharu apabila layak ke saingan utama peringkat kelab di Asia iaitu AFC Women’s Champions League (AWCL) musim 2024-2025 buat kali pertama.

Kemenangan 2-1 menentang kelab Uzbekistan, PFC Nasaf sudah cukup untuk memastikan mereka juara kumpulan di peringkat kelayakan selepas mengutip 4 mata dalam dua perlawanan.

Baca Juga:

Sebelum ini, mereka seri tanpa jaringan menentang kelab dari Nepal, APF FC.

Ketika menentang PFC Nasaf, Sabah terlebih dahulu membuka akaun jaringan menerusi rembatan pemain import dari Myanmar, Win Theingi Tun pada minit ke 31.

Tersentak dengan gol itu, Nasaf cuba bangkit menyusun gerakan dan namun gagal menembusi benteng pertahanan Sabah yang diketuai oleh pemain berpengalaman, Steffi Sarge Kaur.

Pengadil kemudian menghadiahkan sepakan penalti kepada Sabah yang berjaya disudahkan oleh Win Theingi Tun untuk gol kedua pada minit ke 44.

Memasuk separuh masa kedua, Nasaf bangkit mengandakan asakan dan melancarkan beberapa serangan berbahaya namun ia pantas dinafikan oleh penjaga gol wanita nombor satu negara, Nurul Azurin Mazlan.

Nasaf akhirnya berjaya menjaringkan satu gol menerusi tandukan Alvine Emma hasil sepakan sudut pada minit ke 83. Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan tiket ke AWCL menjadi milik Sabah.

Selain Steffi Kaur dan Nurul Azurin, Sabah turut diperkuatkan oleh penyerang kebangsaan, Intan Sarah serta dua pemain import dari Jepun iaitu Eri Narita dan Misaki Nakayama.

Untuk saingan AWCL, Sabah diletakkan dalam kumpulan A bersama Wuhan Jiangda (China), Incheon Red Angels dari Korea serta Al Nassr (Arab Saudi) atau Abu Dhabi (UAE).