Selepas sudah diserbu oleh pihak berkuasa pada tempoh hari lalu, nampaknya ulat gambar atau jurufoto jalanan mulai berpindah ke lokasi ikonik lain pula dan mengganggu ketenteraman orang ramai.
Perkara ini dikongsikan sendiri oleh seorang warga tempatan yang mendakwa fenomena ulat gambar di Saloma Bridge sudah tahap yang membimbangkan.
Pengguna Threads bernama @turis.sesat yang bercerita yang mana dia mahu mengambil dan video untuk promosi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 namun terganggu oleh kerana wujud adengan masuk campur geng terbabit.
Difahamkan mereka telah menguasai beberapa tempat yang cantik untuk pengambaran.
Sesiapa yang tidak mengambil servis dengan mereka langsung dihalau serta-mereta seolah-olah mempunyai hak mutlak padanya.
Ekoran tindakan itu, dia memaklumkan ada pelancong yang kecewa tidak mengambil gambar yang cantik di spot yang menarik kerana dikuasai oleh geng ulat gambar.

Oleh itu, lelaki itu meminta pihak berkuasa seperti polis atau anggota DBKL untuk menjaga dua lokasi ikonik dan jadi tarikan di Kuala Lumpur iaitu KLCC dan Saloma Bridge.
Pesannya lagi, jika kerajaan gagal membendung isu ini dalam masa terdekat, ia boleh mencalarkan nama Malaysia seperti apa yang terjadi di Semporna di mana pelancong membuat video ulasan negatif kerana keadaan persekitaran yang sangat kotor.
Apa yang menjadi kebimbangan oleh orang ramai bagaimana ulat gambar ini akan bertindak kasar kepada sesiapa yang cuba mengambil gambar tanpa menggunakan servis mereka.
Sudah pasti keselamatan orang awam menjadi isu besar kerana mereka boleh saja melakukan perkara yang tidak bermoral untuk menguasai lokasi tersebut.