Bekas tonggak Arsenal dan pemain Real Oviedo, Santi Cazorla, tampil lantang mengkritik pengurusan LaLiga, menyifatkan liga bola sepak Sepanyol itu “bertahun-tahun cahaya ketinggalan” berbanding Premier League.

Kemarahan Cazorla tercetus selepas satu perlawanan melibatkan Real Oviedo dibatalkan pada saat akhir, hanya beberapa jam sebelum sepak mula.

Keputusan itu dibuat oleh LaLiga atas alasan keadaan padang tidak selamat, walaupun kedua-dua pasukan dan penyokong sudah berada di lokasi perlawanan.

Cazorla bengang dengan cara La Liga yang dianggap sesuka hati membatalkan perlawanan pada saat akhir, tanpa mengira kesannya kepada penyokong yang sudah hadir ke stadium.

Santi
Foto: YouTube

Bukannya membuat keputusan hanya beberapa jam sebelum perlawanan bermula. Santi Cazorla menganggap La Liga harus lebih baik dalam aspek komunikasi.

Santi Cazorla kecam Liga Sepanyol

Bagi Cazorla, keputusan sebegitu mencerminkan kelemahan serius dalam perancangan dan profesionalisme liga.

Beliau tidak berselindung apabila membandingkan situasi itu dengan pengalaman di England, di mana Premier League dianggap lebih cekap dari segi pengurusan, komunikasi dan kebajikan pasukan.

Cazorla menegaskan: “Hakikatnya, LaLiga bertahun tahun cahaya jauhnya di belakang Liga Perdana Inggeris dalam segala perkara.

“Ini perkara yang sukar diterima. Kita sekarang bercakap tentang liga profesional, tetapi situasi seperti ini langsung tidak masuk akal,” luah Cazorla dalam kenyataannya di media sosial.

Kenyataan tersebut segera tular dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat bola sepak Sepanyol. Ramai bersetuju bahawa LaLiga masih bergelut dengan isu organisasi, terutama sekali kelab-kelab selain pasukan gergasi seperti Real Madrid dan Barcelona.

Selain itu, kenyataan itu juga dianggap tamparan buat Javier Tebas yang seringkali menganggap LaLiga jauh lebih bagus daripada EPL dalam aspek pengurusan liga dan sebagainya.

La Liga
Javier Tebas. Sumber Gambar: Reuters

Untuk rekod, Cazorla pernah beraksi selama enam musim bersama Arsenal dan dikenali sebagai antara pemain paling teknikal dalam generasinya. Pengalaman luas di Premier League memberi kredibiliti kepada kritikannya terhadap LaLiga.

Beberapa bulan lalu Cazorla mengkritik penjadualan La Liga apabila Real Oviedo dijadualkan bermain perlawanan pukul 2 petang untuk beberapa kali.

“Kelakar, Real Oviedo selalu bermain pukul 2 petang,” kata Santi Cazorla.