Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan syarat pelesenan kelab yang ditetapkan oleh Malaysia Football League (MFL) terlalu tinggi.

Beliau berpendapat syarat untuk mendapat lesen beraksi dalam Liga Malaysia musim depan ibarat setinggi Gunung Everest sedangkan kemampuan pasukannya hanya setinggi Gunung Jerai.

Baca Juga:

“Standard kita belum sampai ke tahap tu lagi. Setiap syarat yang diletakkan untuk mendapatkan lesen bagi bertanding dalam musim berikutnya terlalu tinggi.

“Banyak pasukan berdepan masalah. Bukan satu atau dua, tetapi tujuh hingga lapan pasukan berhempas pulas nak penuhi syarat itu.

“Bergantung pada faktor kewangan. Bola sepak kita belum sampai tahap itu lagi kerana keupayaannya setakat Gunung Jerai tetapi syarat yang diletakkan setinggi Everest,” kata Sanusi dalam sidang media selepas perasmian bangunan baharu Wisma KFA di Alor Setar kelmarin.

FOTO: KFA

Beliau juga mendedahkan tidak semua pasukan mampu memenuhi syarat setinggi Everest kerana sukar untuk mencari penaja serta menampung kewangan pasukan. 

“Penaja kalau nak cari pulangan dalam bola sepak, memang tak ada kerana Malaysia belum sampai ke tahap itu. Kalau mereka beri sebulan RM1 juta bersamaan RM12 juta setahun, ibarat beri sebagai sumbangan dan takkan dapat balik pulangan.

“Jualan cenderamata dan tiket, semuanya tak mampu menampung kos untuk pasukan dan itulah industri bola sepak kita.

“Saya tak tahulah siapa ghairah sangat nak ke tahap tu tetapi rasanya kita sekarang ini cuba letakkan tanggungjawab mendaki Gunung Everest kepada pendaki Gunung Jerai,” katanya.

MFL sebelum ini mengumumkan sebanyak 10 kelab berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan manakala tiga lagi diberikan Lesen Kebangsaan berserta hukuman yang menyaksikan mereka layak bertanding dalam saingan Liga Super 2024-2025.

Bagaimanapun keputusan pelesenan untuk TRW Kelantan FC ditangguhkan hingga Disember ini kerana didapati memiliki tunggakan gaji dalam deklarasi 31 Ogos.