Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mempertahankan anak buahnya selepas mengalami kekalahan 0-3 di tempat sendiri bertemu Liverpool dalam saingan EPL.

Ten Hag berkata, beliau bukan ‘Harry Potter’ yang melakukan silap mata mengubah keputusan perlawanan selepas tiga aksi musim baharu EPL apabila turut tewas 1-2 pada hujung minggu lalu di Brighton.

Baca Juga:

Namun, harapan untuk permulaan baharu tidak bertahan lama di Old Trafford apabila Liverpool melangkah mudah ke arah kemenangan dalam ujian besar pertama Arne Slot sejak menggantikan Jurgen Klopp.

“Ia bukan seperti saya Harry Potter, itu yang anda perlu akui,” kata Ten Hag dipetik dalam BBC Sports.

“Kami baru sahaja bermain perlawanan ketiga musim ini, sekali lagi kami perlu membina pasukan baharu.

“Kami akan membina pasukan baharu ini, kami mempunyai pemain muda, dan juga pemain yang perlu dibangunkan sepanjang musim. Hari ini kami mempunyai dua atau tiga pemain yang tidak memulakan musim dan mereka tidak bermain selama 90 minit.

“Kami akan baik-baik saja. Jelas bahawa kami perlu memperbaiki, tetapi pada akhir musim saya cukup yakin bahawa kami akan mempunyai peluang besar untuk meraih trofi lain.”

Kemenangan mengejut di final Piala FA menentang Manchester City Mei lalu membantu mengekalkan Ten Hag dalam jawatannya walaupun kelab berkenaan menduduki tempat kelapan musim lalu – kedudukan terendah EPL yang pernah dicapai oleh United.

Bekas pengurus Ajax itu bahkan diberikan lanjutan kontrak dan sokongan dengan perbelanjaan £200 juta (RM1.1 bilion) untuk pemain baharu sepanjang jendela perpindahan.