Nota Editor: Penulisan ini ditulis oleh Tuan Abd Ghani Haron. Semoga kisah ini menyentuh hati untuk kita menjadi lebih pemurah pada Ramadhan ini. Lawati Facebook Page Tuan Abdul Ghani Haron untuk lebih banyak cerita inspirasi di sini.
Gambar hiasan. Kredit: Tumblr
MEMILIH BAJU RAYA DI PROJEK SEDEKAH JARIAH
Ketika keluar daripada pagar rumah, hendak ke dapur masak syarikat saya, saya terpandang seorang lelaki tua dengan tiga orang budak yang mungkin cucunya sedang memegang beberapa helai baju yang disangkut di projek sedekah jariah depan rumah saya . Saya tidak pernah melihatnya sebelum ini, lalu tergerak hati untuk bertanya. Salam saya disambut dengan sedikit terkejut. Kedut wajahnya dengan uban bertaburan di kepala.
Katanya,”Mai cari baju raya kat cucu. Nak beli mahal sangat, tak cukup duit. Budak-budak ni tak dak pak dah, saya la yang bela.”
Berderau darah saya mendengarnya, hati bagai ingin memeluk anak-anak yatim itu yang patuh menunggu datuk mencari baju yang sesuai. Dalam hati mereka, agaknya, inilah pakaian baru mereka, pakaian raya mereka, sedangkan ini adalah pakaian terpakai sumbangan orang ramai.
Saya berpatah balik mencari baju yang masih dalam bungkusan yang belum dibuka di tempat letak kereta dalam rumah. Dapatlah beberapa helai. Bila diserah kepada orang tua itu, dia mulanya senyum lebar, tetapi tiba-tiba beralih menjadi tangisan sehingga tersedu. Tiada kata-kata yang terbit di bibir tua itu, melainkan pandangan yang merobek limpahan air mata saya. Cucunya yang hairan, mula memegang tangan datuk mereka dan memeluk pehanya seolah mahu memujuk datuk yang tiba-tiba menangis. Pakaian yang diambil diletak dalam raga motor yang senget.
Dia meninggalkan saya dengan luahan rasa, “Cikgu, tahun ini cucu saya ada baju raya baru, tidak seperti tahun dulu.”
Dia memberi salam sambil mengesat air mata dengan lengannya. Saya menghantarnya dengan pandangan hingga motornya hilang di simpang jalan. Ketika mengesat air mata, baru teringat, kenapa aku tidak tanya dia tinggal di mana? Ya Allah. Bagaimana kasut mereka, makan minum dan persekolahan mereka?
Ingatlah ketika kita memberi pilihan kepada anak-anak untuk memilih baju raya yang baru, pasaraya, gedung membeli-belah, gerai dijelajah untuk memenuhi pilihan, ada insan yang memilih baju raya di kedai bundle, atau kebetulan kerana saya melaksana program ini, ada insan yang bergantung baju rayanya di pusat sedekah jariah. Itulah baju raya mereka. Pakaian milik kita, milik keluarga kita yang pada kita mungkin sudah tidak mahu diguna, pada orang lain masih dianggap baru. Janganlah dibuang, atau diperap menjadi istana lipas, bersedekahlah kepada mereka yang memerlukan atau kirimkan kepada saya untuk saya sampaikan kepada mereka. Anda terlepas daripada pembaziran, anda membantu yang memerlukan dengan bersedekah sesuatu yang sudah tidak digunakan dan moga anda memperoleh ganjaran disisi Allah.
BACA: Kenangan Kasut Raya Lelong Wanita Ini Ketika Kecil Menyentuh Hati Ramai
BACA Lagi: Peristiwa Ini Bukti Allah Membayar Tunai Kepada Yang Bersedekah