Sifat toleransi dan hormat-menghormati sememangnya menjadi tunjang utama keharmonian masyarakat di negara ini.

Baru-baru ini, sebuah video yang tular di media sosial berjaya menyentuh hati netizen apabila memaparkan sikap luar biasa penonton bola sepak tempatan yang mendahulukan adab berbanding keseronokan perlawanan.

'Sebab Ni Bangga Jadi Rakyat Malaysia' – Tindakan Penonton Tunggu Azan Selesai Sebelum Sorak Kemenangan Spain Raih Pujian Ramai
Sumber Gambar: Threads@ryyennn.__

Menerusi video yang dikongsi, situasi berkenaan dirakam di sebuah lokasi tayangan skrin besar yang sedang menayangkan perlawanan membabitkan pasukan Spain.

Suasana yang pada mulanya penuh debaran bertukar sunyi seketika sebaik sahaja alunan azan mula bergema.

Apa yang mengagumkan, para penonton yang hadir daripada pelbagai bangsa dan agama secara spontan langsung mendiamkan diri. Tiada sebarang jeritan mahupun sorakan dibuat sepanjang tempoh tersebut demi menghormati laungan panggilan solat yang sedang berkumandang.

'Sebab Ni Bangga Jadi Rakyat Malaysia' – Tindakan Penonton Tunggu Azan Selesai Sebelum Sorak Kemenangan Spain Raih Pujian Ramai
Sumber Gambar: Threads@ryyennn.__

Suasana tenang itu bagaimanapun kembali bertukar bertenaga seusai sahaja azan selesai. Seluruh ruang tayangan serta-merta bergema apabila para hadirin langsung bersorak dengan harmoni dan penuh semangat meraikan kemenangan Spain.

Bukan itu sahaja, tumpuan netizen turut terarah kepada disiplin penonton yang hadir.

Walaupun masing-masing berada dalam keadaan teruja dan gembira, mereka dilihat masih menjaga perbatasan pergaulan antara lelaki dan wanita di dalam video berkenaan dengan begitu tertib tanpa ada perlakuan yang melampaui batas.

Melihat kepada situasi yang cukup harmoni itu, pemilik hantaran asal video berkenaan secara terbuka meluahkan rasa bangga yang tidak terhingga menjadi rakyat Malaysia.

Baginya, sikap toleransi dan kesepakatan yang ditunjukkan oleh anak watan dalam video tersebut adalah bukti sebenar keindahan hidup bermasyarakat di Malaysia.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji tindakan matang para penonton tersebut dan menyifatkan ‘adab mahal’ seperti inilah yang perlu terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang.