Pada 31 Ogos lalu, jenama telekung premium tempatan, Siti Khadijah (SK) dilihat menyertai perbarisan Hari Kebangsaan 2026.
Penyertaan jenama tersebut telah menarik perhatian warganet. Ramai menyatakan penyertaan jenama itu adalah sebahagian daripada marketing.
Namun sangkaan netizen itu tidak tepat sama sekali.

Menurut Strategis Jenama dan Pemasaran Siti Khadijah, Siti Natrah Amirah berkata jenama Siti Khadijah hadir atas jemputan agensi kerajaan.
Ia bukanlah penyertaan berbayar dan bukan ruang marketing. Sebaliknya satu penghargaan kepada perjalanan sebuah jenama tempatan yang membina ekonomi rakyat.
“Kontijen Siti Khadijah berbaris di bawah Sektor Ekonomi, dalam Kluster 5: Kesejahteraan dan Ekonomi Rakyat.
“Selepas 17 tahun, SK hari ini mempunyai lebih 600 anak tempatan yang bekerja bersama kami dan 65 buah kedai di seluruh Malaysia.

“Dan semuanya bermula daripada seorang suri rumah iaitu Pn Hjah Padzilah Enda Sulaiman yang memulakan perniagaan SK pada usia 46 tahun.
“Jadi bagi kami, jemputan ini bukan sekadar peluang untuk berada dalam perbarisan. Ia adalah satu penghargaan kepada perjalanan sebuah jenama tempatan, kepada mereka yang bekerja di belakangnya, dan kepada sumbangan yang telah sama-sama kita bina untuk ekonomi rakyat,” jelas beliau.
Kontijen Siti Khadijah Miliki Pelbagai Latar Belakang

Menurut Siti Natrah lagi, para kontijen SKtempoh hari terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti tukang jahit, IT, perakaunan, merchandising, e-commerce, korporat dan ada kalangan para pelajar.
“Kami hadir bukan sekadar membawa nama Siti Khadijah. Kami hadir membawa cerita sebuah jenama Malaysia,” kata beliau dalam satu hantaran penjelasan.