Satu fenomena yang baik berlaku di Malaysia pada hari ini apabila orang ramai sedia memenuhi masjid untuk melakukan ibadah solat secara berjemaah sewaktu Subuh.

Perkara menarik yang berlaku pada baru-baru ini adalah Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru menerima kehadiran lebih 12,000 jemaah dalam program Semarak Subuh Johor.

Baca Juga:

Sumber Gambar: FB Masjid Sultan Iskandar Bandar Onn

Berita tersebut telah dimaklumkan oleh masjid berkenaan menerusi satu hantaran di halaman Facebook. Kehadiran jemaah yang terlalu ramai itu menyaksikan Solat Subuh di masjid tersebut terpaksa dilaksanakan dalam dua sesi.

Menurut pihak pengurusan masjid, situasi tersebut adalah kali pertama berlaku sepanjang sejarah penubuhan masjid berkenaan.

“Sejak penubuhan, ini adalah kali pertama solat subuh dilaksanakan dalam dua sesi kerana terlalu ramai jemaah yang hadir,” kenyataan dalam hantaran tersebut.

Menerusi hantaran tersebut, pihak pengurusan masjid turut bersyukur dengan penerimaan luar biasa daripada orang ramai.

Pada masa yang sama, Masjid Sultan Iskandar juga mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat menjayakan program ini.

“Setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada jemaah yang hadir, penyumbang-penyumbang dan sahabat-sahabat pempengaruh yang menjadi antara pencetus bagi program ini.”

“Selain orang ramai, program Semarak Subuh Johor turut dihadiri beberapa pemimpin negeri antaranya Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani.

Turut hadir, Exco Agama Johor Tuan Haji Mohd Fared Mohd Khalid, Datuk Bandar Johor Bahru Dato’ Noorazam Dato’ Osman, Exco Kesihatan Melaka Dr. Muhamad Akmal Saleh dan dif-dif terhormat yang lain.

Pada akhir hantaran, Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato’ Onn berharap agar usaha untuk menyuburkan amalan subuh berjemaah di masjid mendapat keredaan Allah S.W.T.

“Mudah-mudahan, segala usaha kita diberkati Allah. Semoga kita semua istiqamah dalam menunaikan solat berjemaah di masjid.”

Berdasarkan gambar yang dikongsikan, jemaah yang sedia ada sudah melimpahi hingga ke kawasan luar masjid. Jadi, tidak hairanlah jika mereka terpaksa melakukan dua sesi bagi memenuhi kewajiban semua.

Majoriti netizen menunjukkan reaksi yang baik terhadap insiatif yang dilakukan serta harap ia boleh diteruskan untuk minggu-minggu berikutnya.

Sumber