Pasukan Selangor mahu memberi fokus terhadap proses pemulihan Faisal Halim terlebih dahulu berbanding memikirkan bila pemain itu akan kembali beraksi.
Perkara ini dinyatakam oleh Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar dimana Faisal ada bertanya mengenai perkembangan pasukan ketika menerima rawatan di hospital.
Baca Juga:
- Sonny Bill Williams Doakan Faisal Halim Cepat Sembuh
- Faisal Halim Dipindahkan Ke Wad Biasa, Teringin Nasi Kandar
- Rakan Sepasukan Rindu Kelibat Faisal Halim
“Dia ada bertanya kepada isterinya (berkenaan Piala Sumbangsih). Tetapi, buat masa ini macam saya kata, kita tak nak pemikiran dia terganggu.
“Kalau ikutkan Faisal ini seorang yang sangat teliti, sering bertanya apa terjadi. Sekarang ini kita nak fokus kepada pemulihan dia dahulu,” katanya.
Dalam masa yang sama, Shahril menyatakan Faisal sudah dipindahkan ke wad biasa selepas lebih seminggu diletakkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan keadaannya kini semakin stabil tetapi masih memerlukan penjagaan rapi.
“Alhamdulillah hari ini (semalam) Faisal sudah dipindahkan dari ICU ke wad biasa. Tetapi, masih lagi tidak dibenarkan pelawat kerana keadaan Faisal masih lagi sensitif. Namun keadaan dia stabil,” katanya.
Kejadian yang menimpa Faisal Halim mendapat perhatian dunia dimana Bekas pemain ragbi skuad kebangsaan New Zealand, Sonny Bill Williams mendoakan agar pemain sayap Selangor itu cepat sembuh.
Menerusi laman media sosial rasmi pasukan, mereka memuat naik satu video yang menunjukkan Sonny memberikan kata-kata semangat dan doa bagi Faisal serta seluruh keluarga.
“Assalamualaikum Faisal, Sonny Bill Williams di sini. Saya mahu mendoakan agar anda cepat sembuh. Semoga Allah SWT mempermudah semua urusan buat anda serta seluruh keluarga.
“In Sha Allah, anda kekal kuat. Di setiap kesusahan, pasti ada kemudahan. Dan kemudahan akan segera datang kepada anda. Jaga diri. Assalamualaikum,” katanya.