Sebut sahaja nama Highland Towers, pasti ramai rakyat Malaysia terbayangkan memori hitam yang pernah menggegarkan negara satu ketika dahulu.

Bagi anda yang selalu melalui kawasan Hulu Klang, dua blok bangunan yang terbiar sepi itu seolah-olah menjadi ‘tugu’ peringatan kepada sebuah tragedi menyayat hati.

Namun, selepas berpuluh tahun dibiarkan usang, bangunan ini akhirnya bakal dirobohkan sepenuhnya.

Noktah Musibah Selepas 30 Tahun

Selepas Tiga Dekad Ditinggalkan Sepi, Bangunan Highland Towers Akhirnya Bakal Dirobohkan Tahun Ini
Sumber Gambar: ALHIJRAH

Berita baik buat penduduk sekitar dan satu titik noktah kepada sejarah panjang ini apabila Mahkamah Majistret Ampang pada minggu lalu telah meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk merobohkan kompleks kediaman Highland Towers yang lama terbiar itu.

Memetik laporan Harian Metro, proses perobohan ini dijangka akan diselesaikan sebelum penghujung tahun ini, sekali gus menamatkan ‘pemandangan’ struktur usang yang sekian lama menghantui kawasan berkenaan.

Menurut Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari, pihak mereka kini sedang dalam proses menyelaraskan tindakan lanjut, khususnya bagi melantik pihak yang akan bertanggungjawab menguruskan kerja-kerja perobohan bersejarah ini.

Menerusi kenyataan beliau mengenai perkembangan operasi tersebut, Hasrolnizam menjelaskan: “Kita akan anjurkan satu mesyuarat pelarasan membabitkan pihak pemilik unit yang diwakili oleh pihak pemaju dan insolvensi.”

“Kita menjangkakan perkara ini tidak mengambil masa yang lama kerana semua dah jelas bahawa itulah matlamat yang diaturkan. Kita dalam tahun ini juga, proses perobohan itu akan berlaku,” tambah beliau lagi.

Mengimbas Kembali Detik Hitam 11 Disember 1993

Selepas Tiga Dekad Ditinggalkan Sepi, Bangunan Highland Towers Akhirnya Bakal Dirobohkan Tahun Ini
Sumber Gambar: Wikipedia

Bagi generasi baharu yang mungkin kurang arif tentang apa yang terjadi, tragedi Highland Towers merupakan antara insiden paling duka dalam sejarah moden Malaysia. Semuanya bermula pada jam 1.35 tengah hari, 11 Disember 1993, apabila Blok 1 kondominium mewah itu tiba-tiba runtuh menyembah bumi.

Kejadian ngeri ini berpunca daripada kegagalan cerun di kawasan belakang bangunan, yang turut diburukkan lagi dengan keadaan hujan lebat yang berterusan pada ketika itu. Tragedi ini telah meragut 48 nyawa yang tidak bersalah.

Selepas Tiga Dekad Ditinggalkan Sepi, Bangunan Highland Towers Akhirnya Bakal Dirobohkan Tahun Ini
Sumber Gambar: Wikipedia

Kesan daripada runtuhan Blok 1, pihak berkuasa segera mengarahkan semua penduduk di Blok 2 dan Blok 3 untuk mengosongkan kediaman masing-masing atas faktor keselamatan.

Sejak dari hari malang tersebut, kedua-dua blok mewah itu kekal tidak berpenghuni, perlahan-lahan ditelan alam dan menjadi bangunan terbiar yang sering dikaitkan dengan pelbagai kisah mistik.

Selain itu, peristiwa tragis ini turut membawa kepada pertikaian undang-undang yang rumit dan berlarutan selama bertahun-tahun, membabitkan pelbagai pihak termasuk penduduk mangsa, pihak pemaju hartanah, dan MPAJ.

Kini, selepas lebih tiga dekad terpahat sebagai memori ngeri di Hulu Klang, kerja-kerja perobohan ini pasti akan memberi kelegaan kepada banyak pihak. Ia bukan sahaja satu langkah pembersihan tapak yang lama tertangguh, tetapi juga simbolik kepada penutupan rasmi sebuah episod duka negara.