Kepakaran jurulatih badminton Malaysia telah menarik minat negara luar untuk mendapatkan khidmat mereka terutamanya melibatkan bekas pemain negara.

Pengalaman luas dalam sistem pembangunan tempatan serta pendedahan sebagai bekas pemain kebangsaan, kehadiran mereka dihargai negara-negara yang sedang giat membina kekuatan dalam sukan ini.

Dapat disaksikan jurulatih kelahiran Malaysia telah diberikan kepercayaan untuk membimbing negara-negara di Asia, Eropah, Timur Tengah dan yang terbaharu benua Afrika.

Artikel ini merupakan kemas kini kepada senarai yang pernah kami terbitkan pada 27 November 2024 dan 26 April 2025, dengan menyenaraikan jurulatih badminton Malaysia yang kini masih aktif menyumbang kepakaran mereka di luar negara pada tahun 2026. .

Berikut merupakan senarai jurulatih kelahiran Malaysia yang dimaksudkan!

Senarai Terkini 2026: Jurulatih Badminton Malaysia Yang Sedang Berbakti Di Luar Negara
Kredit Foto: Badminton Association of Hong Kong, China

1) Wong Chonn Hann – Hong Kong 

Bekas pemain perseorangan negara ini sudah hampir tiga tahun menabur bakti bersama skuad kebangsaan Hong Kong.

Pada awalnya dilantik sebagai jurulatih perseorangan lelaki, beliau kemudiannya dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih pada 1 Oktober 2024 untuk peranan lebih besar dalam memperkasakan barisan kejurulatihan Hong Kong.

2) Tan Bin Shen – Hong Kong 

Bin Shen yang dikenali ketika membimbing Aaron Chia-Soh Wooi Yik memilih Hong Kong sebagai destinasi seterusnya dengan terbang ke sana pada Februari 2025.

3) Jeremy Gan – Hong Kong 

Jeremy yang mencipta nama bersama skuad kebangsaan Jepun turut mengikuti jejak langkah Choon Hann dan Bin Shen dengan menyertai skuad kebangsaan Hong Kong pada Februari 2025.

4) Loh Wei Sheng – Hong Kong 

Wei Sheng turut menjadi pilihan Chonn Hann untuk berada dalam senarai barisan kejurulatihannya dan beliau bertindak selaku jurulatih perseorangan lelaki.

5) Tan Kim Her – India

Jurulatih yang berpengalaman luas di luar negara ini kembali bersama India pada Disember 2024 untuk membimbing pasangan utama, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Kontraknya bersama India akan berakhir selepas Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

6) Lee Wan Wah – Jepun 

Pemergian Tan Kim Her ke India telah membuka ruang buat Lee Wan Wah untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua jurulatih skuad beregu lelaki Jepun.

Jepun bagaimanapun bukan asing buat Wan Wah yang sudah berkhidmat bersama Persatuan Badminton Jepun sejak 2019.

Senarai Terkini 2026: Jurulatih Badminton Malaysia Yang Sedang Berbakti Di Luar Negara

7) Salim Samion – Thailand 

Bermula sebagai jurulatih skuad remaja sejak 2021, Salim diberikan tanggungjawab lebih besar oleh Persatuan Badminton Thailand (BAT) selepas dilantik sebagai ketua jurulatih perseorangan lelaki dan wanita skuad kebangsaan Thailand.

8) James Chua – Republik Czech

James Chua yang sebelum ini pernah membimbing pemain perseorangan lelaki (2023) dan wanita (2022) Malaysia telah meletakkan jawatan pada 21 September 2024 untuk bergelar ketua jurulatih skuad badminton Republik Czech bermula 1 Oktober 2024.

9) Vountus Indra Mawan – Australia 

Vountus merupakan penolong jurulatih skuad badminton Australia bermula Februari 2023 dan kini turut bertindak selaku ketua jurulatih skuad South Australia.

10) Hafiz Hashim – Arab Saudi 

Juara All England 2003 itu memulakan tugasan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Arab Saudi pada 7 Ogos 2025 dengan menandatangani kontrak selama dua tahun (pilihan lanjutan).

Sebelum ke Arab Saudi, Hafiz pernah bersama Suchitra Badminton Academy di Hyderabad, India.

11) Roslin Hashim – Mesir 

Roslin Hashim pula terbang ke Cairo selepas memeterai perjanjian selama tiga tahun untuk bersama skuad kebangsaan Mesir bermula Disember 2025.

Sama seperti adiknya, Roslin juga diberikan peranan dalam meningkatkan kualiti negara tersebut untuk menghadapi Sukan Olimpik 2028.

12) Tan Kian Meng – England 

Bersara pada Mac 2025, Kian Meng dilantik sebagai jurulatih jemputan buat skuad beregu lelaki England selama tiga bulan (bermula Jun).

Berpuas hati dengan kemampuan Kian Meng dalam membimbing Ben Lane-Sean Vendy, Persatuan Badminton England menawarkan kontrak selama tiga tahun buat beliau sebagai ketua jurulatih beregu untuk menggantikan legenda negara tersebut, Nathan Robertson pada Oktober 2025.

Jurulatih badminton Malaysia di peringkat kelab luar negara

Bekas jurulatih beregu wanita negara, Chin Eei Hui kini bersama Lim Pek Siah membimbing sebuah kelab yang berpangkalan di Auckland, New Zealand iaitu North Harbour Badminton Club.

Legenda beregu lelaki, Yap Kim Hock pula dikhabarkan berada di Henan, China sebagai jurulatih Zhengzhou Badminton Academy.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Datuk Misbun Sidek akan berkelana ke India untuk bersama salah satu akademi terkenal di negara tersebut.

Mungkin ada lagi jurulatih badminton dari Malaysia yang berada di luar negara tetapi di luar pengetahuan penulis, ayuh kongsikan di ruangan komen!