Piala Dunia 2026 dijangka menjadi satu kejohanan bersejarah yang tidak pernah disaksikan sebelum ini.

Buat pertama kalinya, kejohanan ini akan diperluaskan kepada 48 pasukan dan dianjurkan merentasi tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Keadaan yang sekali gus menjanjikan tontonan paling besar dalam hampir 100 tahun sejarah pertandingan ini.

Namun, bagi satu generasi pemain bola sepak yang telah berada di barisan hadapan sukan ini selama hampir dua dekad, inilah penghujung perjalanan mereka.

Sekumpulan legenda bola sepak bakal mengucapkan selamat tinggal, dengan Piala Dunia 2026 menawarkan peluang terakhir untuk mereka menjulang trofi paling berprestij dalam dunia bola sepak.

Mereka yang dimaksudkan ialah:

1) Lionel Messi (Argentina)

Lionel Messi kini hampir mencecah usia 39 tahun dan walaupun pernah memberikan beberapa petunjuk yang samar mengenai masa depannya, beliau telah bertekad untuk beraksi dalam Piala Dunia keenamnya, satu rekod baharu dalam sejarah kejohanan itu.

Pemain yang dianggap sebagai yang terhebat dalam sejarah bola sepak itu akhirnya memenangi satu-satunya trofi yang sebelum ini terlepas daripada genggamannya apabila Argentina menewaskan Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2022.

2) Cristiano Ronaldo (Portugal)

Pada usia 41 tahun, Cristiano Ronaldo berpeluang menjadi pemain tertua dalam sejarah yang menjulang trofi Piala Dunia sekiranya Portugal muncul juara pada kejohanan kali ini.

Tidak seperti Lionel Messi, pemenang lima kali anugerah Pemain Terbaik Dunia (Ballon d’Or) itu masih belum pernah memenangi Piala Dunia.

3) Guillermo Ochoa (Mexico)

Ochoa dijangka menyertai Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo sebagai pemain yang akan beraksi dalam Piala Dunia keenam mereka tahun ini, namun penyertaan Guillermo Ochoa dalam kejohanan tersebut pada mulanya jauh lebih tidak pasti.

Penjaga gol legenda yang telah membuat lebih daripada 150 penampilan antarabangsa bersama Mexico itu hanya beraksi sekali untuk skuad kebangsaan Mexico sejak perlawanan akhir Liga Negara-Negara CONCACAF pada Mac 2024, dan beliau kemudiannya tanpa disangka-sangka tersenarai dalam skuad kendalian Javier Aguirre.

4) Manuel Neuer (Jerman)

Ochoa bukan satu-satunya penjaga gol legenda yang menerima panggilan mengejut untuk menyertai kejohanan ini.

Dengan Marc-Andre ter Stegen yang bergelut dengan masalah kecederaan sepanjang dua tahun kebelakangan ini, serta keraguan yang berterusan terhadap prestasi penjaga gol pilihan utama, Oliver Baumann, ketua jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann, membuat keputusan berani untuk memanggil semula Manuel Neuer daripada persaraan antarabangsa bagi satu penampilan terakhir bersama pasukan kebangsaan.

5) Luka Modric (Croatia)

Seorang lagi pemain berusia 40 tahun, Luka Modric merupakan pemain padang kedua tertua dalam Piala Dunia kali ini selepas Cristiano Ronaldo.

Beliau berhasrat untuk menambah satu lagi babak terakhir yang gemilang dalam kariernya yang penuh kejayaan di kejohanan tersebut.

6) Edin Dzeko (Bosnia dan Herzegovina)

Edin Dzeko mendapat peluang untuk beraksi di pentas tertinggi pada usia 40 tahun selepas Bosnia dan Herzegovina bergelut untuk layak ke kejohanan utama sejak satu-satunya penampilan mereka di Piala Dunia pada tahun 2014.

Dzeko berjaya membangkitkan semangat rakan sepasukanny selepas menewaskan Itali dalam perlawanan play-off Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang akhirnya membawa mereka ke Piala Dunia 2026.

7) Son Heung-min (Korea Selatan)

Beberapa pasukan berkemungkinan akan mengucapkan selamat tinggal kepada pemain terbaik dalam sejarah mereka pada Piala Dunia ini, dan Korea Selatan mungkin termasuk dalam senarai itu sekiranya Son Heung-min memutuskan untuk tidak meneruskan karier antarabangsanya selepas 2026.

Sebilangan besar penyokong melihat Piala Dunia ini sebagai salah satu peluang terakhir untuknya terus mengetuai pasukan kebangsaan, sebelum menutup satu era penting dalam bola sepak Korea Selatan.

8) Mohamed Salah (Mesir)

Beberapa hari lebih tua daripada Son Heung-min dan berada dalam situasi yang hampir sama sebagai pemain paling hebat dalam sejarah bola sepak negaranya, Mohamed Salah telah memikul beban Mesir hampir sepenuhnya selama bertahun-tahun.

Kali ini, beliau mempunyai sedikit sokongan tambahan yang diketuai oleh penyerang Manchester City, Omar Marmoush.

Namun begitu, pasukan Mesir sekali lagi akan bergantung kepada Salah untuk memberikan inspirasi di Amerika Utara, walaupun prestasinya bersama Liverpool dilaporkan menurun secara ketara dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini.

9) Neymar (Brazil)

Neymar dan Piala Dunia 2026 merupakan satu kisah perjalanan yang penuh liku dengan beberapa siri kecederaan dialami hinggalah kepada berita gembira namanya tersenarai.

Penjaring gol terbanyak sepanjang zaman Brazil itu masih belum lagi membuat penampilan antarabangsa sejak mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) pada Oktober 2023.

10) Kevin De Bruyne (Belgium)

Kevin De Bruyne telah melalui musim pertama yang dipenuhi kecederaan bersama Napoli selepas meninggalkan Etihad Stadium.

Terdapat kebimbangan bahawa tubuh pemain tengah itu semakin sukar untuk menampung tuntutan permainan apabila beliau menghampiri usia 35 tahun pada hujung bulan ini.

Isyarat jelas bahawa Piala Dunia 2026 berkemungkinan menjadi pentas terakhirnya dalam saingan ini.

11) Virgil van Dijk (Belanda)

Virgil van Dijk semakin baik seiring peningkatan usia, dan walaupun beliau akan mencecah 35 tahun ketika Piala Dunia berlangsung, tidak ada keraguan bahawa beliau akan memainkan peranan penting dalam kempen Belanda pada musim panas ini.