Saingan Piala Dunia Kelab FIFA 2025 dengan format baharu semakin menghampiri penghujung apabila empat pasukan sudah mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Fluminense yang dikepalai pertahanan kental legenda, Thiago Silva menjadi satu-satunya wakil dari Amerika Selatan meneruskan kemaraan selepas menundukkan jaguh Asia, Al-Hilal hasil kemenangan 2-1.

Baca Juga:

Mendahului lawan pada minit ke-40 menerusi jaringan Matheus Martinelli, Fluminense tersentak ketika aksi memasuki minit ke-51 apabila Marcos Leonardo menyamakan kembali kedudukan.

Hercules akhirnya muncul wira kelab Brazil itu berikutan jaringan yang diledakkannya pada minit ke-70 untuk membawa kelab tersebut ke separuh akhir.

Separuh Akhir
Kredit Foto: Alex Grimm/Getty Images/AFP (Photo by ALEX GRIMM / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP

Lawan yang perlu dihadapi mereka pada awal pagi 9 Julai nanti ialah Chelsea setelah The Blues menundukkan satu lagi kelab Brazil, Palmeiras dengan keputusan 2-1.

Skrip yang sama berlaku apabila Chelsea mendahului menerusi Cole Palmer pada minit ke-16 dan kemudiannya bakal rekrut baharu The Blues, Estavao Willian memadamkan kelebihan tersebut di minit ke-53.

Kesilapan Agustin Giay tertampan bola ke gawang sendiri ketika cuba mematahkan hantaran lintang Malo Gusto ketika aksi sudah memasuki minit ke-83 memastikan slot ke separuh akhir menjadi milik Chelsea.

Slot ketiga pula diisi juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) yang menundukkan Bayern Munich dimana aksi dicemari dengan dua kad merah buat pemain PSG dan Jamal Musiala mengalami patah kaki ketika insiden pertembungan dengan Gianluigi Donnarumma.

Gol PSG disumbangkan oleh percubaan dari luar kawasan penalti oleh Desire Doue pada minit ke-78 dan Ousmane Dembele pada masa kecederaan.

Dengan kejayaan tersebut PSG akan berdepan Real Madrid yang menundukkan Borussia Dortmund dalam aksi penuh mendebarkan terutamanya pada masa kecederaan.

Separuh Akhir
Kredit Foto: Mostafa Bassim / Anadolu via AFP

Real Madrid mendahului 2-0 pada 20 minit awal hasil jaringan Gonzalo Garcia (minit ke-10) dan Fran Garcia (minit ke-20).

Memasuki masa kecederaan babak kedua, Dortmund merapatkan jurang menerusi Maximillian Beier (minit 90+2) tetapi Kylian Mbappe kembali melebarkan kedudukan berselang dua minit kemudian.

Real Madrid terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Dean Huijsen dilayangkan kad merah dan menyaksikan mereka terus ditekan selepas itu selepas Serhou Guirassy menyempurnakan sepakan penalti.

Thibaut Courtois menjadi wira buat Real Madrid apabila beliau cemerlang menafikan percubaan jarak dekat ketua pasukan Dortmund, Marcel Sabitzer sekali gus Los Blancos mara ke separuh akhir.

Jadual Separuh Akhir Piala Dunia Kelab FIFA 2025

1) Fluminense lawan Chelsea – Rabu (9 Julai) – 3.00 Pagi

2) PSG lawan Real Madrid – Khamis (10 Julai) – 3.00 Pagi