Lima daripada tujuh wakil Malaysia berjaya melayakkan diri ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka India 2025 yang bakal berlangsung petang ini.

Hanya Leong Jun Hao yang tewas kepada Weng Hong Yang dalam aksi ‘straight set’ 18-21, 12-21 dan Arif Junaidi-Yap Roy King terpaksa tunduk kepada ‘senior’ mereka, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 23-25, 19-21.

Baca Juga:

Selebihnya wakil Malaysia yang terdiri daripada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Pearly Tan-M. Thinaah, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie turut berjaya meneruskan kemaraan.

Aaron-Wooi Yik menundukkan pasangan China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-10, 21-18 manakala Pearly Tan-M. Thinaah pula tidak perlu terlalu berhempas-pulas kerana mendapat kemenangan percuma.

Hal ini kerana gandingan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian menarik diri ketika Pearly dan Thinaah sedang mendahului 14-4 pada set pertama ekoran kecederaan dialami Shu Xian.

Duo beregu campuran meneruskan rentak cemerlang selepas Tang Jie-Ee Wei mengenepikan cabaran juara Terbuka Malaysia, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand 19-21, 21-12, 22-20.

Sementara itu, Soon Huat-Shevon Lai pula menundukkan wakil dari Jepun, Yuta Watanabe-Maya Taguchi 21-10, 19-21, 21-16.

Berikut merupakan senarai penuh wakil Malaysia yang mera ke peringkat suku akhir kejohanan badminton Terbuka India 2025:

Beregu Lelaki

Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani

Aaron Chia-Soh Wooi Yik

Beregu Wanita

Pearly Tan-M. Thinaah

Beregu Campuran

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei

Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie