Empat wakil negara mempamerkan aksi cemerlang untuk mara ke separuh akhir kejohanan Antarabangsa Syed Modi India 2025 yang berlangsung di Lucknow.
Dengan ketiadaan pemain berpengalaman dan nama-nama besar dari Malaysia, barisan pemain muda yang turun beraksi jelas tidak menghampakan dalam saingan berstatus Super 300 dalam kalendar Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF) ini.
Gandingan beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen Ting yang berada di ranking ke-33 dunia berjaya melepasi cabaran pasangan tuan rumah, Priya Konjengbam-Shruti Mishra dengan kemenangan 21-13, 22-20.
Cabaran sukar bakal menanti mereka di separuh akhir esok apabila dijadualkan bertemu pasangan pilihan pertama dari India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand Pullela.

Satu slot ke final sudah menjadi milik Malaysia selepas Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao akan berhadapan dengan Faiq Masawi-Lok Hong Quan.
Wei Jie-Sheng Hao menundukkan Dev Ayyappan-Dhiren Ayyappan 21-18, 21-13 dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) manakala Faiq-Hong Quan pula menumbangkan gandingan Jepun, Mayasuki Onodera-Daigo Tanioka 21-16, 21-15.
Aaron Tai-Kang Khai Xing menjadi wakil negara yang terakhir mara ke separuh akhir selepas menewaskan Hariharan Amsakarunan-M.R.Arjun dari India menerusi aksi tiga set 22-20, 14-21, 21-13.
Juara remaja dunia 2024 itu akan bertemu Rodion Alimov-Maksim Ogloblin dari Rusia.
Wakil Negara Di Separuh Akhir Kejohanan Antarabangsa Syed Modi India 2025
Beregu Lelaki
1) Aaron Tai-Kang Khai Xing
2) Chia Wei Jie-Lwi Sheng Hao
3) Faiq Masawi-Lok Hong Quan
Beregu Wanita
4) Ong Xin Yee-Carmen Ting