Tiga wakil negara berjaya meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Walaupun terdapat beberapa kejutan terutamanya melibatkan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Pearly Tan-M. Thinaah dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang tersingkir daripada persaingan, penyokong setia badminton negara masih mampu mengukir senyuman susulan kemenangan dilakarkan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong-Tee Kai Wun.
Baca Juga:
- Senarai Wakil Negara Mara Ke Pusingan 16 Terbuka Malaysia 2026

- Ini Jumlah Wang Bakal Diraih Pemain Dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2026

- Senarai Pemain Badminton Negara Yang Sertai Terbuka Malaysia 2026

Tan Jie-Ee Wei beraksi baik untuk menewaskan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-13, 23-21 dalam tempoh masa 41 minit.
Kejayaan itu melebarkan rekod kemenangan juara dunia tersebut kepada 4-0 ketika berhadapan dengan Pang Ron-Su Yin.
Wei Chong-Kai Wun juga tidak mahu ketinggalan untuk ke suku akhir selepas menumpaskan Hiroki Midorikawa-Kyohei Midorikawa dari China 21-9, 21-15.
Beberapa minit kemudian, Axiata Arena sekali lagi bergema dengan sorakan padu penyokong berikutan kemenangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik ke atas pasangan China, Chen Xu Jun-Liu Yang dalam aksi berlanjutan ke set ketiga 21-14, 14-21, 21-14.
Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong berpeluang untuk menambah jumlah wakil negara ke suku akhir tetapi perlu menghadapi pasangan ranking pertama dunia, Seo Seung Jae-Kim Won Ho pada aksi yang bakal berlangsung kira-kira jam 9.00 malam nanti.
Lawan Di Suku Akhir
Di suku akhir, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan berhadapan dengan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong.
Aaron-Wooi Yik akan menanti pemenang antara Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani (Indonesia) dan Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju dari Korea Selatan manakala Wei Chong-Kai Wun pula akan bertemu pemenang aksi Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong menentang Seo Seung Jae-Kim Won Ho.