Empat daripada tujuh wakil negara berjaya melangkah ke peringkat suku akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2025 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Sektor beregu lelaki dan beregu campuran masing-masing mempunyai dua wakil untuk berentap pada aksi lapan terbaik itu.

Baca Juga:

1) Chen Tang Jie-Toh Ee Wei 

Pasangan beregu campuran nombor satu negara ini memulakan cabaran dengan aksi cemerlang ditampilkan ketika menundukkan lawan dari Chinese Taipei, Lu Ming Che-Hung En-Tzu dengan ‘straight set’.

Sorakan padu penyokong setia yang membanjiri stadium jelas menyemarakkan api perjuangan Tang Jie dan Ee Wei untuk mempamerkan corak permainan kemas sepanjang perlawanan.

Ia jelas dibuktikan dengan kemenangan mudah 21-8 dicatatkan pada set pertama dan kemudiannya mereka mengesahkan kemaraan dengan 21-14.

Menanti Tang Jie-Ee Wei di suku akhir esok ialah pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito yang menundukkan wakil Indonesia, Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja.

2) Ong Yew Sin-Teo Ee Yi

Axiata Arena terus gamat dengan kejayaan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menundukkan pasangan yang baharu sahaja digandingkan dari Korea Selatan, Jin Yong-Kang Min Hyuk 23-21, 16-21, 21,18.

3) Man Wei Chong-Tee Kai Wun

Kecemerlangan itu diteruskan dengan kejayaan Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang menghampakan pilihan kelapan kejohanan dari Chinese Taipei, Lee Jhe-Huei-Yang Po Hsuan 21-15, 21-13.

4) Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie 

Pasangan suami isteri ini pula menepati ramalan untuk ke suku akhir apabila menewaskan Kumar Karunakaran-Aadya Variyath dari India dengan kemenangan 21-10, 21-17.