Selepas sebelas tahun,Sepanyol, bimbingan Luis de la Fuente kembali ke puncak sebagai pasukan nombor satu dunia dalam ranking FIFA bagi bulan September, menyingkirkan juara dunia, Argentina.
Ini merupakan pencapaian yang tidak pernah mereka capai sejak Jun 2014. Dan ianya lebih sedekad lalu. Di mana ketika itu Sepanyol pada fasa akhir era generasi emas mereka.
Kebangkitan ini dibina berdasarkan prestasi yang cemerlang, dengan kemenangan terkini menentang Bulgaria dan Turki, menambah kepada rentetan keputusan positif yang membolehkan pasukan kebangsaan Sepanyol mengumpul mata yang mencukupi untuk mengatasi pesaing mereka.
Dengan Sepanyol naik ke atas puncak ranking dunia, Perancis pula mengekalkan kedudukan kedua, manakala bekas pendahulu, Argentina, jatuh ke tempat ketiga, menyerahkan takhta yang dipegangnya kepada Sepanyol.
Ranking bulan September turut menyaksikan beberapa perubahan penting. Portugal berjaya naik satu anak tangga, menduduki tempat kelima dan memintas Brazil, yang kini berada di tempat keenam.
🔝🇪🇸 Spain claim the top spot in the latest #FIFARanking!
— FIFA World Cup (@FIFAWorldCup) September 18, 2025
Selain itu, dua pasukan bersejarah kembali ke kelompok 10 terbaik: Croatia dan Itali naik dalam ranking dan kini masing-masing berada di tempat kesembilan dan kesepuluh. Sementara itu, pasukan kebangsaan Jerman mengalami kejatuhan besar, turun tiga anak tangga ke kedudukan kedua belas.