Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) mencadangkan penjualan perniagaan jalur lebarnya kepada Maxis Bhd dengan nilai tunai sehingga RM83 juta, langkah strategik yang membolehkan kumpulan penyiaran itu menumpukan semula sumber kepada perniagaan teras kandungan, pengiklanan dan hiburan.
Menurut makluman Astro kepada Bursa Malaysia, cadangan pelupusan tersebut dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Measat Broadcast Network Systems Sdn Bhd (MBNS), kepada unit milik penuh Maxis, Maxis Broadband Sdn Bhd, menerusi perjanjian jual beli bersyarat yang dimeterai pada Jumaat, petik The Edge Malaysia.
Astro menjangkakan keuntungan bersih sebanyak RM31.4 juta daripada transaksi itu selepas mengambil kira penyahiktirafan aset bersih perniagaan berkenaan.
Perniagaan jalur lebar Astro, yang dilancarkan pada 2022 sebagai usaha MBNS meluaskan sayap melangkaui televisyen berbayar, merekodkan 178,631 pelanggan setakat 28 Februari lalu. Nilai buku bersih asetnya berjumlah RM36.6 juta setakat 30 September, berbanding kos pelaburan asal sebanyak RM28 juta.
Pertimbangan harga dihadkan pada RM83 juta dan tertakluk kepada pelarasan berdasarkan jumlah sebenar pelanggan yang berjaya dipindahkan:
- – RM83 juta jika sekurang-kurangnya 155,000 pelanggan dipindahkan.
– RM82 juta bagi julat 150,000 hingga 154,999 pelanggan.
– RM80 juta bagi julat 145,000 hingga 149,999 pelanggan.
– Sekiranya jumlah pelanggan yang dipindahkan kurang daripada 145,000, nilai pertimbangan akan ditolak sebanyak RM500 bagi setiap pelanggan di bawah ambang berkenaan.
Maxis memaklumkan pengambilalihan itu dibiayai sepenuhnya menggunakan dana dalaman kumpulan.
“Pengambilalihan ini bertujuan mempercepatkan perluasan pangkalan pelanggan gentian optik Maxis Broadband, meluaskan capaian pasaran serta membuka peluang jualan silang dan jualan tambahan bagi perkhidmatan sedia ada, menggabungkan ketersambungan mudah alih dan talian tetap untuk isi rumah,” jelas Maxis dalam kenyataan berhubung rasional urus niaga itu.
Daripada jumlah hasil pelupusan, Astro berhasrat memanfaatkan RM81.35 juta sebagai modal kerja dan tujuan korporat am, merangkumi operasi harian, perbelanjaan modal penyelenggaraan serta kos pentadbiran. Baki RM1.65 juta pula diperuntukkan bagi menampung kos transaksi berkaitan, termasuk yuran profesional, penganjuran mesyuarat agung luar biasa (EGM) dan yuran kawal selia.
Urus niaga ini diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan memandangkan wujudnya kepentingan pengarah dan pemegang saham utama dalam kedua-dua entiti:
– Lim Ghee Keong, yang memegang 0.02% kepentingan dalam Astro, turut menganggotai lembaga pengarah Maxis, Maxis Broadband dan Astro Malaysia.
– Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif Astro, Mazita Mokty serta Simon Cathcart, merupakan pengarah penama Usaha Tegas Sdn Bhd (UTSB), entiti yang mempunyai kepentingan tidak langsung dalam Maxis Broadband melalui Usaha Tegas Equity Sdn Bhd.
– Matthew James Turner, pengarah alternatif kepada Lim, memegang jawatan ketua pegawai kewangan di UTSB.
Susulan itu, Public Investment Bank Bhd dilantik sebagai penasihat bebas bagi mewakili pemegang saham dan pengarah Astro yang tidak berkepentingan.
Transaksi ini dijangka selesai menjelang suku kedua 2027, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham Astro serta pemberitahuan bertulis kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).