Sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi legenda dunia badminton tanah air iaitu Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid.
Anak-anak Sidek ini dahulunya pernah menggegarkan dunia dengan aksi pukulan servis unik digelar ‘Servis Sidek’ atau ‘Servis S’ yang diperkenalkan oleh Misbun Sidek.
Disebabkan teknik ini, mereka berjaya menumbangkan hampir keseluruhan pemain badminton handalan dunia dengan mudah sekali. Setiap pukulan servis yang dilakukan akan menghasilkan satu mata buat mereka.
Tambah teruja, mereka berjaya mencipta sejarah dan mengharumkan nama Malaysia dalam kejohanan terbuka dunia seperti All England, Piala Dunia Badminton dan Sukan Olimpik berkat teknik servis ini.
Pukulan bulu tangkis Servis Sidek sukar untuk dibalas
Lain orang, lain caranya. Difahamkan teknik ‘Servis Sidek’ ini diajar dengan cara memegang bulu tangkis menghala ke bawah lalu menolaknya pada bahagian sisi bulu dengan mengayunkan pergelangan tangan.
Selepas dipukul, bulu tangkis tersebut akan berputar-putar dalam keadaan arah yang tidak boleh dijangka oleh pihak lawan. Hal ini menyebabkan pihak lawan sukar untuk membalas pukulan servis tersebut dengan sempurna.
Ada yang terkandas di jaring dan juga terpukul bulu tangkis secara ‘tanggung’ sekali gus memudahkan anak-anak Sidek melakukan pukulan smash ke arah lawan. Seandainya tersalah langkah, bulu tangkis yang dilemparkan juga boleh tersangkut pada raket pihak lawan. Menarik bukan?
Negara Barat tidak puas hati dengan Servis Sidek
Lumrah kehidupan, apabila seseorang itu sentiasa hebat dalam segala hal pastinya ada mereka yang bersifat iri hati. Khabarnya, pukulan ‘Servis Sidek’ ini diharamkan dan ditentang keras oleh pemain badminton di negara Barat kerana teknik ini berpotensi untuk menjatuhkan ranking mana-mana pemain yang menjadi pesaing kepada anak-anak Sidek.
Disebabkan kekalahan teruk yang sering dialami pemain badminton England dan Denmark gara-gara pukulan tradisi ini, pada Mei 1981, satu perutusan dihantar kepada Persatuan Badminton Antarabangsa (IBF) untuk meminda peraturan badminton baru dan mengharamkan ‘Servis Sidek’ ini.
Walau bagaimanapun, cadangan tersebut dihalang oleh pihak persatuan badminton Malaysia, Indonesia dan disokong oleh China. Disebabkan gagal mendapatkan kata sepakat, ‘Servis Sidek’ masih dibenarkan oleh IBF dalam kejohanan yang seterusnya.
Pada Mac 1982, semasa kejohanan terbuka All England berlangsung di Wembley, Malaysia pada ketika itu diwakili oleh Razif (19 tahun) dan Jailani (18 tahun) menang dalam acara beregu menentang pasangan Scotland dengan menggunakan kaedah servis ini.
Servis Sidek diharamkan atas alasan kurang munasabah
Suasana bertambah ‘hangat’ dan pada 15 Mei 1982, satu perdebatan mengenai ‘Servis Sidek’ dilakukan semasa Mesyuarat Agung Tahunan IBF. Wakil Denmark mendakwa bahawa pukulan servis pada sisi bulu tangkis adalah satu kesalahan.
Pengerusi IBF juga akui benda yang sama dan anggap teknik ini memberikan peluang mudah untuk anak-anak Sidek menang dalam setiap perlawanan. Setelah dianalisis pakar, teknik servis ini rasmi diharamkan atas alasan ianya menghasilkan dua sentuhan pukulan secara serentak iaitu pada bahagian bulu dan kepala bulu tangkis. Umum tahu bahawa memukul dua kali bulu tangkis secara serentak adalah diharamkan dalam peraturan IBF.
Alasan tersebut diterima logik, akhirnya ‘Servis Sidek’ diharamkan dalam semua kejohanan antarabangsa bermula 1 Julai 1982 sehingga ke hari ini. Apa boleh buat, kuasa veto Barat sememangnya tiada tandingan dan Malaysia terpaksa akur dengan keputusan tersebut walaupun kesimpulan yang dibuat adalah sangat tidak relevan.
Seandainya teknik servis ini mula diperkenalkan dalam kalangan pemain badminton di negara Barat, mungkin tiada bantahan yang mampu dibuat oleh mana-mana pihak terutamanya negara Asia dan sudah pasti ia masih relevan digunakan sehingga hari ini.
Misbun sendiri secara live tahun lalu bercerita dengan teliti bagaimana servis ini dilakukan. Baca lagi pada pautan di bawah.
Misbun Kongsi Kisah ‘Servis Sidek’ Yang Sangat Digeruni Lawan Satu Ketika Dahulu
‘Setiap Ahad Buat Macam Final’ – Peminat Badminton Kagum Dengan Ketegasan Dan Nasihat Misbun Sidek
Lee Chong Wei Kongsi Kisah ‘Rare’ Bagaimana Badminton Menyatukan Rakyat Malaysia