Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman sah telah digantung daripada tugasannya berikutan isu yang membabitkan hukuman Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) terhadap tujuh pemain warisan skuad Harimau Malaya.
Pemain-pemain yang dimaksudkan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandoo Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.
Keadaan tersebut menyaksikan FAM telah diarah membayar denda sebanyak CHF 350,000 kepada FIFA manakala tujuh pemain tersebut perlu membayar denda sebanyak CHF 2,000 serta dikenakan hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan keputusan itu.
Perkembangan terkini mengenai penggantungan tugasan Noor Azman itu disahkan oleh Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundram dalam satu sidang media khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya sebentar tadi.
“Berikutan kes FIFA, Setiausaha Agung FAM (merujuk kepada Noor Azman) telah digantung berkuat kuasa hari ini,” ujar Sivasundram.
Antara alasan yang diberikan merintis kepada keputusan penggantungan tersebut adalah bagi membolehkan jawatankuasa bebas melakukan siasatan berhubung isu terbabit.
Sebelum ini, Noor Azman mendedahkan bahawa telah mengenal pasti wujud kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen melibatkan tujuh pemain warisan yang didakwa telah dilakukan oleh kakitangan pentadbiran badan induk bola sepak negara itu.