Tonggak pertahanan skuad negara, Shahrul Mohd Saad memberikan bayangan bahawa pengendali pasukan, Kim Pan-gon akan menerapkan corak permainan menyerang pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Oman, malam esok.
Beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia mampu meningkatkan moral para pemain untuk bangkit daripada kekalahan 0-2 tempoh hari sekali gus memburu mata penting berbekalkan sokongan padu para penyokong skuad Harimau Malaya.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Malaysia Tewas Di Tangan Oman
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Malaysia Teruskan Rentak Kemenangan, Atasi Chinese Taipei 1-0
- Kelayakan Piala Dunia 2026: Malaysia Pamer Kebangkitan Dramatik Tundukkan Republik Kyrgyz
Meskipun beraksi di bulan Ramadan, kira-kira lebih 15,000 penyokong akan berada dibelakang para pemain negara untuk memburu tiga mata penuh.
Sehubungan dengan itu, Shahrul yang beraksi selama 84 minit di Oman berpendapat aksi berbeza akan ditampilkan barisan pemain negara pada perlawanan penting esok.
“Semestinya bermain di tempat kita, saya rasa akan ada pertukaran formasi terutama dari segi serangan. Kita tidak boleh hilang mata untuk perlawanan seterusnya.”
“Kita akan bagi ‘all out’ untuk perlawanan di tempat kita,” ujar Shahrul Saad menurut sumber laporan Bernama.
“Kita mampu melakukan sesuatu di tempat kita. Saya pasti kita mempunyai kekuatan sendiri apabila bermain di tempat kita.”
Saingan di peringkat kumpulan D masih terbuka dimana Oman, Krygyztan dan Malaysia terikat dengan enam mata hasil dua kemenangan dan satu kekalahan dialami setiap pasukan.
Peluang bermain di laman sendiri perlu digunakan sebaiknya barisan pemain negara untuk kembali berada di tangga teratas dan mencerahkan peluang bagi mara ke pusingan ketiga dan sekali gus layak ke Piala Asia 2027 secara automatik.