Presiden Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berdepan desakan supaya melepaskan jawatannya selepas terus menjadi figura yang mengundang pelbagai kontroversi sejak dipilih menerajui badan induk bola sepak dunia itu pada Februari 2016.

Sepanjang tempoh tersebut, Infantino mengemudi FIFA dalam penganjuran tiga edisi Piala Dunia di Rusia, Qatar dan Amerika Utara.

Namun, beliau turut mencetuskan pelbagai perdebatan selepas memperkenalkan beberapa perubahan terhadap permainan, termasuk pelaksanaan rehat hidrasi pada Piala Dunia 2026.

Susulan dengan itu, Presiden La Liga, Javier Tebas menggesa supaya Gianni Infantino meletakkan jawatan selepas mendakwa Presiden FIFA itu telah memusnahkan industri bola sepak.

Tebas Mahu Infantino Berundur

Tebas turut mendakwa FIFA semakin kerap membuat keputusan yang hanya mengutamakan kepentingan badan itu sendiri.

“Pada pendapat saya, ya, saya fikir sudah tiba masanya untuk beliau (Infantino) berundur,” ujar Tebas menurut sumber laporan La Gazetta dello Sport.

“Namun, beliau mendapat sokongan daripada sistem dan persatuan-persatuan bola sepak, jadi tidak banyak lagi yang boleh diperkatakan.”

“Tiada calon yang benar-benar mahu mencabarnya kerana mereka tahu peluang untuk menang amat tipis. Inilah sistem yang wujud sekarang dan pada pandangan saya, sistem ini sudah rosak hingga ke akar umbi.

“Beliau tidak sepatutnya terus kekal memegang jawatan tetapi keadaan semasa menyebabkan perkara itu sukar berlaku.”

Sepanjang beberapa hari saya berada di Amerika Syarikat, saya mendengar ramai pihak yang menentang Infantino dan tidak bersetuju dengan apa yang dilakukannya. Mereka bersuara mengenainya, tetapi akhirnya tidak melakukan apa-apa.”

“Saya sendiri tidak pasti mana yang lebih buruk, sikap berdiam diri atau bersubahat kerana mereka yang memilih untuk berdiam diri sebenarnya sedar akan kerosakan yang sedang dialami dunia bola sepak,” tambah beliau lagi.