Penyampaian perkhidmatan kesihatan awam negara bakal menjadi lebih efisien menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).

Usaha ini merupakan hasil kerjasama rentas kementerian antara Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Matlamat utamanya adalah untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan buat rakyat menerusi ketersambungan digital dan teknologi yang lebih bersepadu.

Meninjau pelaksanaan di peringkat akar umbi

TINJAUAN FAHMI

Bagi melihat sendiri perkembangan inisiatif ini, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil telah mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Padang Besar, Perlis.

Dalam lawatan berkenaan, beliau diberi taklimat khas serta menyaksikan demonstrasi penyelesaian digital yang menyokong ekosistem kesihatan negara termasuk penggunaan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan aplikasi ketersambungan perkhidmatan.

Tiga teras utama PERSADA

KKM

Bukan sekadar perancangan, PERSADA merangkumi tiga fokus utama untuk kemudahan rawatan anda:

  • Memperkukuh Ketersambungan Digital: Meningkatkan liputan dan kelajuan rangkaian di klinik kesihatan serta hospital di seluruh negara.
  • Pelaksanaan EMR: Memastikan sistem Rekod Perubatan Elektronik dapat beroperasi dengan lancar.
  • Penerokaan Teknologi Baharu: Memanfaatkan teknologi terkini bagi memperluas akses perkhidmatan kesihatan kepada orang ramai.

Misi ‘Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan’

Infrastruktur digital yang mantap ini menjadi asas penting kepada pencapaian aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod Kesihatan’. Antara manfaat direct yang bakal anda nikmati termasuklah:

  • Rawatan Menerus & Fleksibel: Rekod kesihatan anda disepadukan dengan lancar walaupun anda berubat di fasiliti atau lokasi yang berbeza.
  • Proses Lebih Tersusun: Pengalaman rawatan menjadi lebih teratur tanpa perlu mengulang proses pendaftaran maklumat yang sama.
  • Masa Menunggu Disingkatkan: Apabila inisiatif ini dilaksanakan secara menyeluruh kelak, majoriti pesakit dijangka menerima rawatan dalam tempoh kurang daripada satu jam.

Suntikan peruntukan RM1 Bilion

Sebagai rekod, inisiatif PERSADA telah menerima peruntukan keseluruhan berjumlah RM1 bilion pada Ogos lalu termasuk tambahan RM350 juta daripada pihak kerajaan.

Suntikan dana ini disalurkan secara khusus bagi memperkukuh ketersambungan, sistem digital, serta infrastruktur sokongan untuk rangkaian kesihatan awam di seluruh negara.