The Speedy Tigers menagih sentuhan legenda Pakistan, Sohail Abbas dalam usaha untuk meningkatkan kembali prestasi skuad hoki Malaysia yang kelihatan semakin terumbang-ambing pada ketika ini.
Sohail yang dikenali sebagai pakar pukulan sudut penalti ketika zaman kegemilangannya telah dilantik sebagai penolong kepada ketua jurulatih skuad hoki negara, Sarjit Singh dengan kontrak selama setahun.
Baca Juga:
- Impian Skuad Hoki Malaysia Ke Sukan Olimpik 2024 Terpadam
- Skuad Hoki Lelaki Malaysia Dibubar, Kontrak Jurulatih Ditamatkan
- Sarjit Singh Mahu Pemain Hoki Negara Hentikan ‘Penyakit Lama’
Perkembangan terkini itu disahkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Dato’ Sri Subahan Kamal dalam satu sidang media pada petang semalam.
Dengan kehadiran Sohail Abbas yang meledakkan ratusan gol menerusi pukulan sudut penalti, ia sedikit sebanyak diharapkan dapat membantu para pemain negara ketika situasi tersebut.
Hal ini kerana sejak ketiadaan Razie Rahim, Malaysia dilihat cukup bergelut untuk menyempurnakan peluang terhidang menerusi pukulan sudut penalti.
Tetapi, Sohail yang kini berusia 49 tahun tidak hanya memberikan tumpuan khusus kepada situasi tersebut, sebaliknya turut akan membantu dalam keseluruhan aspek permainan termasuk serangan dan bertahan.
“Kita sememangnya amat memerlukan jurulatih yang bersedia berkhidmat secara sepenuh masa dan Sohail mampu berbuat demikian untuk KHM.”
“Untuk permulaan beliau akan bertolak ke Johor, esok pagi, mengiringi Sarjit untuk memantau Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak yang akan bermula, esok (hari ini).”
“Sebaik pulang nanti, skuad kebangsaan akan kembali berlatih bermula 17 Oktober ini dan Sohail akan memulakan tugasnya bagi memberi tunjuk ajar dan pengalaman yang dimilikinya bersama para pemain,” ujar Subahan menurut kenyataannya dalam laman sesawang rasmi KHM.