Pembinaan stadium baharu Manchester United kini berdepan halangan. Projek stadium baharu Manchester United yang digelar sebagai “Wembley of the North” kini berdepan kelewatan serius disebabkan pertikaian harga tanah.
Stadium yang dirancang untuk mempunyai kapasiti 100,000 tempat duduk ini merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan semula Old Trafford yang bernilai £4.2 bilion.
Masalah utama timbul apabila tanah yang penting untuk projek ini yang merupakan kawasan terminal kargo yang dimiliki syarikat Freightliner, masih belum berjaya dibeli – berdasarkan laporan The Guardian.
Freightliner menuntut sekitar £400 juta, sedangkan Manchester United hanya menilai tanah tersebut sekitar £40 juta hingga £50 juta, menyebabkan rundingan buntu.
Akibatnya, pelan asal untuk memulakan pembinaan pada penghujung 2025 dan siap sebelum 2030 kini tergendala.
Projek mega ini dirancang memberi impak ekonomi besar, termasuk menjana £7.3 billion setahun kepada ekonomi UK, menyediakan 92,000 peluang pekerjaan, membina 17,000 unit rumah dan menarik 1.8 juta pelawat tambahan setiap tahun ke kawasan tersebut.
🚨 Man Utd's new stadium plans delayed due to land price dispute for Old Trafford Regeneration Project. Club wants rail freight terminal land; Freightliner demands £400M, United values it at £40-50M. Sir Ratcliffe rejects Brookfield’s price. Talks stalled. [@MattHughesMedia]… pic.twitter.com/MprIeDRW6T
— Red Devils Vibes (@RedDevilsVibes) August 3, 2025
Kelab kini sedang mempertimbangkan beberapa pilihan termasuk meningkatkan tawaran kepada Freightliner, menunggu mereka menurunkan harga, mengubah reka bentuk supaya tanah tersebut tidak diperlukan, atau memohon perintah pembelian paksa melalui undang-undang — yang boleh menyebabkan kelewatan lebih panjang.
Setakat ini, tiada arkitek rasmi dilantik dan perancangan terperinci masih belum dimuktamadkan. Manchester United turut menegaskan bahawa mereka kekal dengan pendirian bahawa dana awam tidak akan digunakan untuk projek stadium tersebut.
Kelewatan ini menjadi tamparan kepada usaha pemilik kelab, Sir Jim Ratcliffe dan kumpulannya INEOS, yang berhasrat menjadikan Old Trafford sebagai ikon bola sepak moden di Utara England dan memberi saingan kepada Stadium Wembley di London.